Rasuah: Bekas pegawai tadbir didenda RM5,000

Selamat Mulyono didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan kerana menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.
Selamat Mulyono didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan kerana menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Seorang bekas pegawai tadbir didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan daripada seorang individu tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.

Pengakuan tersebut dibuat Selamat Mulyono Juni, 37, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim, S Indra Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas di Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah, Butterworth, Pulau Pinang melakukan kesalahan tersebut pada 20 Oktober 2020, kira-kira jam 6.35 petang, bertempat di Restoran Ayam Penyet PB, Parit Buntar, Perak.

Dia didakwa memperoleh suapan berupa wang tunai RM1,500 daripada pemilik syarikat Khaffa Vision Enterprise, Shafrullah Abu Kasim yang telah menjalankan urus niaga jual beli buah kelapa sawit setelah lesen perniagaan Dealer Fruit (DF) daripada MPOB tamat tempoh.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pegawai tadbir mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

Setelah pengakuan tersebut dibuat, Indra Nehru menetapkan hukuman denda RM5,000 dan penjara selama sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Selamat Mulyono pada 9 Mac lalu didakwa atas dua pertuduhan rasuah masing-masing di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan dan minta dibacarakan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertuduhan sebelum ini, dia didakwa meminta suatu suapan wang tunai RM6,000 sebagai dorongan untuk menghapuskan bukti gambar siasatan berhubung kesalahan urus niaga terbabit.

Bagaimanapun dua pertuduhan berkenaan telah diputuskan sebagai Take Into Consideration (TIC) oleh pihak mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Salwani Md Shah.