Bekas pegawai tadbir mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya pada Selasa.
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Seorang bekas pegawai tadbir didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini pada Selasa berhubung dua pertuduhan rasuah melibatkan sebuah syarikat.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Selamat Mulyono Juni, 37, yang bertugas di Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah, Butterworth, Pulau Pinang, didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 pada 14 Oktober 2020.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah telah meminta suatu suapan wang tunai RM6,000 sebagai dorongan untuk menghapuskan bukti gambar siasatan berhubung kesalahan urus niaga syarikat Khaffa Vision Enterprise yang menjalankan urus niaga jual buah kelapa sawit setelah lesen perniagaan pengedar buah daripada MPOB tamat tempoh.

Bagi pertuduhan kedua, Selamat Mulyono didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 pada 20 Oktober 2020 kerana secara rasuah memperoleh suapan berupa wang tunai RM1,500 sebagai dorongan agar pihak penguatkuasaan MPOB tidak akan mengambil sebarang tindakan kepada seorang individu, Shafrullah Abu Kasim atas kesalahan syarikatnya iaitu Khaffa Vision Enterprise yang telah menjalankan urus niaga jual buah kelapa sawit setelah lesen perniagaan pengedar buah daripada MPOB tamat tempoh.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama iaitu penjara tidak melebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan ataupun RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin mencadangkan ikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Selamat Mulyono merayu jaminan dikurangkan dengan alasan isterinya hanya berpendapatan RM1,000 selain menanggung kos perubatan seorang anaknya yang menghidap tumor otak.

Artikel Berkaitan:

Hakim S Indra Nehru menetapkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan manakala sebutan kes pada 20 Mei depan.