Kematian akibat Covid melebihi 600 orang di Sarawak

602 orang meninggal dunia kerana wabak itu sejak Mac tahun lalu. - Foto fail Sinar Harian
602 orang meninggal dunia kerana wabak itu sejak Mac tahun lalu. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

KUCHING - Angka korban akibat Covid-19 di Sarawak melepasi 600 kes selepas sembilan lagi kematian direkodkan pada Khamis menjadikan keseluruhan 602 orang meninggal dunia kerana wabak itu sejak Mac tahun lalu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kes kematian terkini melibatkan individu berusia antara 66 dan 87 tahun dengan kesemuanya mempunyai sejarah komorbid meliputi darah tinggi, penyakit jantung, strok, kencing manis, penyakit buah pinggang dan dislipidemia.

Dua daripada kes itu melibatkan kematian yang berlaku sebelum dibawa ke Hospital Daerah Simunjan dan Hospital Umum Sarawak di sini.

Sementara itu, JBPN berkata, hanya empat daripada 3,118 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada Khamis melibatkan jangkitan paru-paru yang memerlukan oksigen serta penggunaan alat ventilator, manakala selebihnya tidak bergejala atau bergejala ringan.

"Sebanyak 10 daerah mencatatkan jumlah baharu tiga digit dengan Kuching mencatatkan 984 kes, Sibu (430), Betong (200), Bau (143), Bintulu (140), Sri Aman (132), Samarahan (131), Serian (117), Miri (113) dan Song (112).

"19 daerah lagi mencatatkan jumlah kes baharu dua digit antara 11 dan 65 kes, enam daerah mencatatkan antara satu dan lapan kes manakala lima lagi daerah tidak merekodkan sebarang kes," kata kenyataan itu.

JPBN turut mengisytiharkan dua kluster baharu di daerah Bintulu yang melibatkan penduduk di rumah panjang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Kluster Sungai Sagan dengan 25 kes positif Covid-19 dan Kluster Jalan Bintulu-Miri Dua (33 kes positif). - Bernama

Artikel Berkaitan: