Perhilitan tangkap Yob Atai

Yob Atai akan dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu. - Foto ihsan Perhilitan Perak
Yob Atai akan dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu. - Foto ihsan Perhilitan Perak
A
A
A

GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor gajah liar jantan yang memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Lepang Nenering di sini.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah yang diberi nama Yob Atai itu ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah pada Isnin lalu selepas 15 hari menerima aduan penduduk.

"Operasi tangkapan gajah liar ini dijalankan selepas menerima aduan penduduk pada 22 Ogos lalu membabitkan gangguan kehadiran seekor gajah liar yang merosakkan tanaman dan berkeliaran di sekitar kampung.

"Yob Atoi ini dianggarkan berusia dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun dengan berat kira-kira 1.5 tan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Khidmat gajah denak Rambai dan Abot digunakan untuk memujuk Yob Atai. - Foto ihsan Perhilitan Perak
Khidmat gajah denak Rambai dan Abot digunakan untuk memujuk Yob Atai. - Foto ihsan Perhilitan Perak

Menurutnya, gajah itu dipercayai dari populasi kumpulan belum yang dianggarkan dalam 45 hingga 50 ekor.

"Operasi pemindahan Yob Atoi ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu dijalankan dengan bantuan pasukan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

"Operasi bermula 9 pagi dan bagi memudahkan proses pemindahan, kami menggunakan dua gajah denak betina iaitu Rambai dan Abot," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Yusoff turut menasihatkan penduduk agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan.

"Penduduk disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar.

"Aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.