X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

KPDNHEP kesan kenaikan harga ayam di peringkat nasional

KPDNHEP memandang serius isu kenaikan harga ayam dan telur serta akan memantau pergerakan harga dan status bekalan barangan tersebut.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan kenaikan harga ayam standard di peringkat nasional daripada RM8.39 sekilogram (kg) kepada RM8.47 berdasarkan laporan Price Alert Harian pada 6 September lalu.

KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya di 605 premis yang menjual ayam bersih standard di seluruh negara mendapati, 47 premis atau lapan peratus daripadanya menaikkan harga manakala 0.5 peratus menurunkan harga.

“Di Semenanjung, harga purata ayam standard adalah RM8.39 satu kg dan premis yang menjual harga paling tinggi adalah di Pasar Gopeng, Kinta Perak pada harga RM11 satu kg.

"Pada masa sama, ada premis yang menjual pada harga paling rendah iaitu RM5.99 satu kg di 40 buah pasar raya Tesco atau Lotus's di seluruh negara.

“Selain itu, Pasar Raya Besar Mydin Mutiara Rini Johor Bahru dan Family Store Jasin Melaka turut menjual pada harga RM5.99 satu kg manakala 19 buah premis di Semenanjung menjual pada harga melebihi RM10,” katanya pada Khamis.

Ujar kenyataan itu, di Sabah, harga purata ayam bersih standard yang direkodkan adalah RM11.26 satu kg manakala harga tertinggi dicatatkan adalah RM13.20 satu kg yang dijual di Chau Sui Teck (Mawar) Sdn Bhd Sandakan.

“Harga paling rendah adalah RM10.50 satu kg dijual di Pasar Basah Umum Semporna dan Pasar Tanjung Tawau.

“Untuk Sarawak, harga purata ayam bersih standard untuk satu kg adalah RM8.69 manakala harga paling tinggi adalah RM12 dijual di Pasar Basah Sibujaya dan paling rendah adalah RM7.50,” katanya.

Tegas kenyataan tersebut, KPDNHEP memandang serius kenaikan harga ayam dan telur serta akan memantau pergerakan harga juga status bekalan barangan tersebut.

Jelasnya, tindakan tersebut diambil demi kestabilan harga khususnya bagi barangan asas pengguna bagi memastikan tiada sebarang manipulasi harga atau pengambilan untung tidak munasabah dalam kalangan peniaga.

“KPDNHEP juga tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan akta seperti Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 jika keadaan memerlukan.

“Kementerian akan terus memantau pergerakan harga ayam sepanjang masa. Mana-mana peniaga yang didapati mencatut atau mengaut untung tinggi yang tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011.

“Sebanyak 291 Notis bertulis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah dikemukakan kepada peniaga untuk mendapatkan perincian maklumat transaksi jualan, kos bagi mengesan aktiviti peningkatan harga dan kesalahan mencatut,” katanya.

Dalam kenyataan sama, KPDNHEP mendapati, kenaikan harga barangan tersebut disebabkan berlaku peningkatan kos di setiap peringkat pembekalan.

Menurutnya, perincian maklumat kos sedang diperoleh dan disiasat bagi mengesan punca sebelum sesuatu tindakan kawalan dilaksanakan.

“Pemantauan dan pemeriksaan turut dilaksanakan di peringkat makanan (dedak) ayam. Analisis awal mendapati, berlaku peningkatan kos bagi bahan-bahan utama makanan ayam iaitu jagung, soya dan minyak sawit mentah.

“Kedua-dua bahan tersebut iaitu jagung dan soya merupakan item yang diimport 100 peratus dari negara luar,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!