Maut jatuh pokok

Kawasan mangsa ditemui.
Kawasan mangsa ditemui.
A
A
A

BALING - Seorang lelaki ditemui mati berhampiran kebun kelapa sawit Kampung Surau akibat terjatuh dari pokok genuak setinggi kira-kira lima meter, malam semalam.

Ayah mangsa, Abas Yusof,65, berkata, arwah, Mohamad Masri Abas,37, keluar dari rumah di Kampung Surau pada jam 1 petang hari kejadian sebelum mayat ditemui hampir 8 malam.

Menurutnya, arwah menunjukkan perubahan sikap tiga hari sebelum kejadian.

"Arwah dengan keluarga, anak menakan (anak saudara) dan kawan-kawannya kurang bercakap sejak tiga hari lepas.

"Hari kejadian, pakcik dan isteri (Sabariah Yob,64) ajak dia makan, tapi dia tak menyahut dan terus keluar rumah, tak bagitau pergi mana," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, Kampung Surau hari ini.

Terdahulu, keluarga mangsa diziarahi ADUN Bayu, Abd Nasir Idris.

Katanya, arwah kebiasaannya pulang ke rumah dari mencari hasil hutan jam empat petang namun hari kejadian mangsa tidak pulang hingga Maghrib.

"Arwah bekerja kampung, setiap hari dia akan keluar cari hasil hutan seperti buah jering, genuak petai, termasuk buah-buahan, hasilnya dijual di pasar malam.

Artikel Berkaitan:

"Tapi bila sampai lewat petang tak balik semalam, Pak Cik mula rasa tak sedap hati," katanya.

Katanya, dia dan isteri mengesyaki sesuatu buruk berlaku apabila arwah masih belum pulang.

"Kami agak dia jatuh pokok sebab hari-hari arwah akan keluar panjat pokok," katanya.

Katanya, berita kematian anak keempat daripada enam beradik itu hanya diketahui selepas dimaklumkan penduduk.

"Ada penduduk yang pergi cari ayam hutan terjumpa mayat bawah pokok genuak dalam keadaan cedera di kepala dan patah di bahagian tangan dan rusuk kanan," katanya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffudin Yusof berkata, pihaknya menerima aduan penemuan mayat di lokasi kejadian oleh penduduk kampung jam 8.15 malam.

"Hasil siasatan mendapati mangsa mati akibat terjatuh dari atas pokok genuak dan tiada sebarang unsur jenayah.

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani bagi bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!