Dua lelaki 'kantoi' punggah barang ke dalam lori curi

Sebuah lori disyaki dicuri turut dirampas bagi membantu siasatan.
Sebuah lori disyaki dicuri turut dirampas bagi membantu siasatan.
A
A
A

KLANG - Dua lelaki diberkas di Jalan Dato Dagang di sini pada Rabu kerana dipercayai terlibat dalam kes curi lori, pada 24 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua suspek berusia 39 dan 43 tahun itu ditahan pada jam 2 pagi.

"Kami mendapati dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah barang kitar semula ke dalam sebuah lori jenis Isuzu Commando sebelum mereka diberkas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Shamsul Amar berkata, kedua-dua suspek itu bekerja sebagai jurujual besi buruk disyaki mencuri lori berkenaan untuk kegunaan mereka bagi mengutip besi buruk.

"Salah seorang lelaki ditahan itu merupakan dalang untuk kes ini. Kami turut mengesan seorang lagi rakan jenayah yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Mereka direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: