Syabu 7.14kg dalam bungkusan teh cina dirampas

Zainal Mohamed
Zainal Mohamed
A
A
A

GOMBAK - Empat suspek yang dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah ditahan bersama 7.14 kilogram syabu dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta di Jalan TIB 1A, Taman Bolton, Batu Caves di sini pada 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, serbuan jam 1 petang itu dijalankan oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor.

"Pihak polis berjaya merampas satu beg kanvas berwarna biru yang di dalamnya mengandungi tujuh bungkusan teh cina berwarna hijau berisi bahan kristal disyaki syabu.

"Dianggarkan berat keseluruhan berjumlah 7.14 kilogram dengan nilai rampasan RM245,000. Dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 14,000 penagih sehari," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Zainal berkata, ujian saringan air kencing ke atas empat lelaki yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu mendapati tiga daripada mereka positif dadah.

"Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya.

Sehubungan itu, kesemua suspek direman sembilan hari bermula 31 Ogos untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati," katanya.

Artikel Berkaitan: