Kereta terbang: Bukan keutamaan masa kini

Amiruddin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada waris pelajar.
Amiruddin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada waris pelajar.
A
A
A

ALOR SETAR - Cadangan membangunkan kereta terbang hanya boleh dijayakan sekiranya mendapat pelaburan dari luar negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, sekiranya projek berkenaan termasuk aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) disandarkan kepada kantung kerajaan, ia memerlukan pelaburan yang besar.

Menurutnya, ia bukan keutamaan kerajaan buat masa ini.

“Jika ada idea baharu yang inovatif dan ia dipacu oleh sektor swasta, termasuk pelaburan dan R&D dibiayai pihak swasta, ia tak jadi masalah.

"Yang penting apabila idea itu diterjemah dalam bentuk pengeluaran dan membolehkan kemahiran itu dikongsi bersama anak tempatan,” katanya, selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Janggus, hari ini.

Amiruddin berkata, kerajaan sudah tentu mengalu-alukan inovasi daripada pihak swasta untuk meneroka bidang baharu.

“Jika ia perlukan pelaburan besar, bukan jadi keutamaan kerajaan sekarang untuk lihat perkara itu. Namun jika libatkan pihak swasta, mereka dialu-alukan, kerana industri itu kelak membuka peluang kerja untuk anak tempatan,” katanya.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menegaskan pasaran utama kereta terbang adalah kepada syarikat perkhidmatan atau pemain sektor pengangkutan, seperti Grab yang berminat menggunakan ia sebagai teksi. Ia bukan untuk jualan komersil kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Mohd Redzuan mengumumkan, kereta terbang pertama negara itu akan dipacu teknologi tempatan, di mana prototaip kereta itu dijangka diperkenalkan tahun ini.

Beliau juga percaya pembangunan kereta terbang itu bakal menarik pelaburan luar dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, melibatkan bidang kejuruteraan.