Lebih 5,000 penduduk terjejas masalah air di Sepanggar

Aliakbar menadah air hujan untuk digunakan ketika mahu menunaikan solat selepas lima hari kawasan perumahannya di Taman Malawa Jaya, di sini, tiada air.
Aliakbar menadah air hujan untuk digunakan ketika mahu menunaikan solat selepas lima hari kawasan perumahannya di Taman Malawa Jaya, di sini, tiada air.
A
A
A

KOTA KINABALU - Lebih 5,000 penduduk di Sepanggar merayu kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya masalah air yang menghantui penduduk dapat diselesaikan dengan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Dr Aliakbar Gulasan berkata, kebanyakan tempat di kawasan Sepanggar telah terjejas akibat masalah air yang dilihat semakin kritikal.

Katanya, di kawasan penempatannya sendiri iaitu terdapat kira-kira 300 penduduk turut terjejas sehingga ada yang terpaksa membersihkan diri di pejabat dan menadah air hujan untuk kegunaan seharian.

"Antara yang terjejas adalah kawasan saya sendiri iaitu Taman Malawa Jaya apabila sudah lima hari tiada air dan saya terpaksa menadah air hujan untuk simpanan mengambil wuduk.

"Notis catuan tiada langsung diterima menyebabkan penduduk tidak mempunyai sebarang persediaan untuk menyimpan bekalan air ketika ketiadaan air," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut beliau, pihaknya sudah menghubungi bahagian aduan dan jurutera JANS Kota Kinabalu untuk mendapatkan maklum balas berhubung situasi yang mereka hadapi.

"Kami juga sudah menghubungi pengarah jabatan yang bertanggungjawab dengan masalah air ini namun sehingga kini tiada tindakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah ini dapat diselesaikan pada kadar segera dan meminta pihak yang bertanggungjawab memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"JANS sepatutnya lebih telus dengan menggunakan Facebook untuk sebarkan maklumat kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Universiti Condo Apartment 2 (UCA2), Aisyah Ibrahim, 28, memaklumkan keadaan itu sudah berlarutan sejak lebih sebulan lalu termasuk ketika kawasan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Catuan air memang dilaksanakan tetapi tidak mengikut jadual yang ditetapkan dan kerap berlaku keadaan tiada air bagi penghuni di sini.

"Saya harap keadaan ini tidak berterusan kerana ia menyusahkan penduduk terutama bagi yang tinggal di rumah bertingkat dan sukar untuk kami mendapatkan bekalan air bersih dari luar," katanya.

Penduduk tidak dimaklumkan berhubung catuan air yang dilakukan di Taman Malawa Jaya, Sepanggar, Kota Kinabalu.
Penduduk tidak dimaklumkan berhubung catuan air yang dilakukan di Taman Malawa Jaya, Sepanggar, Kota Kinabalu.