Suri rumah rugi RM2,499 terpedaya beli emas lelong murah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang suri rumah untuk memakai rantai tangan lipan kait dan gelang emas fesyen tidak kesampaian selepas ditipu dalam pembelian barangan kemas pada awal bulan ini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 42 tahun dari Kota Sri Ahmad Shah di sini kerugian sebanyak RM2,499.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dikatakan berminat untuk membeli barangan kemas itu selepas melihat satu iklan penjualan emas lelong yang diiklankan di laman sosial Instagram dengan nama kedai_emas.lelong916official.

“Mangsa kemudian telah menghubungi nombor telefon yang tertera di media sosial berkenaan dan mahu membeli rantai tangan lipan kait seberat 64.88 gram dan gelang emas fesyen seberat 17.48 gram dengan harga berjumlah RM2,499.

“Selepas mengadakan perbincangan, mangsa bersetuju untuk membeli dan telah membuat tiga transaksi bayaran ke dua akaun diberikan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, setelah membuat pembayaran, mangsa sehingga kini tidak menerima barangan kemas dibeli.

Susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan kerana merasakan dirinya telah ditipu.

Mohd Wazir berkata, modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan menawarkan penjualan emas tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.