Lelaki maut akibat parah di pergelangan tangan

Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex, pagi Ahad lalu. - Gambar hiasan
Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex, pagi Ahad lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex, dekat sini pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal mendapati pada malam sebelumnya lelaki berumur 28 tahun itu dikatakan mengamuk di Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya apabila mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu Isyak.

"Dia bertindak menumbuk pintu cermin hadapan masjid itu hingga pecah, menyebabkan tangannya berlumuran darah. Di lantai masjid terdapat kesan tompokan darah. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu telah menumbuk sebanyak dua kali pintu cermin itu sehingga pecah,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kakak lelaki itu memberitahu bahawa adiknya yang merupakan jurutera kimia sebuah syarikat berada dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat melawat keluarga di Kuala Berang, Terengganu, sejak kira-kira enam bulan.

Katanya, polis menerima makluman mengenai lelaki itu pada kira-kira 7.35 pagi Ahad, dan mayat telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk proses bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah luka parah di pergelangan tangan kanan saluran darah alteri, dan urat tendon terputus akibat tumbukan pintu cermin kaca. Kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut,” tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: