Baru buka chalet, rumah pula terbakar

Dugaan yang dihadapi seorang pengusaha chalet di Janda Baik apabila rumahnya musnah dalam kebakaran Ahad lalu.
Dugaan yang dihadapi seorang pengusaha chalet di Janda Baik apabila rumahnya musnah dalam kebakaran Ahad lalu.
A
A
A

BENTONG - Kegembiraan seorang pemilik chalet di Janda Baik yang baru sahaja membuka semula perniagaan tidak berpanjangan apabila kediamannya bersama keluarga terbakar dalam kejadian pada Ahad lalu.

Pemilik chalet Mama Papa, Mohamad Yusabanan Yusof, 46, berkata, rumah dua tingkat yang didiami bersama tujuh ahli keluarganya musnah dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu.

"Ketika kejadian saya berada di belakang rumah dan kebakaran disedari oleh jiran hadapan rumah saya. Bahagian tingkat atas rumah saya terbakar dipercayai bermula dari bilik tengah.

"Mujur semua ahli keluarga saya sempat menyelamatkan diri termasuk anak perempuan saya yang kebetuan berada dalam bilik di tingkat atas," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bagaimanapu Yusabanan berkata, beberapa dokumen penting milik ahli keluarganya gagal diselamatkan dan perabot dalam rumah juga musnah akibat kebakaran itu.

Keadaan rumah milik Yusabanan yang musnah akibat kebakaran pada Ahad lalu.
Keadaan rumah milik Yusabanan yang musnah akibat kebakaran pada Ahad lalu.

Reda dengan ujian tersebut, dia bersyukur kerana tiada nyawa yang terkorban dalam kejadian itu walaupun kerugian dianggarkan mencecah RM500,000.

"Saya akur dan anggap kebakaran ini ujian kepada saya dan keluarga. Saya baru saja hendak memulakan perniagaan semula selepas perniagaan terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Namun apakan daya, belum sempat menarik nafas lega susulan perniagaan kembali beroperasi, saya dan keluarga ditimpa musibah kebakaran ini," katanya.

Tragedi menimpa Yusabanan mendapat perhatian Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik yang membuat kutipan sumbangan untuk meringankan beban keluarga berkenaan.

Kebakaran dipercayai bermula dari bilik tengah di tingkat atas rumah.
Kebakaran dipercayai bermula dari bilik tengah di tingkat atas rumah.

Pengerusinya, Rahimi Anuar berkata, pihaknya membuat kutipan untuk Yusabanan yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan tersebut.

"Persatuan bersimpati dengan nasib dihadapi ahli yang menanggung banyak kerugian akibat kejadian ini," katanya.

Persatuan tersebut memiliki lebih 200 ahli terdiri daripada penggiat pelancongan di Janda Baik sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, mereka yang ingin meringankan beban mangsa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 556132061973 atas nama Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik.