Aktiviti kutip kerang di Tanjung Kepah kembali meriah

Aktiviti mengutip kerang dan hasil laut lain kembali meriah di pantai Tanjung Kepah, Lumut susulan kelonggaran dalam fasa PPN.
Aktiviti mengutip kerang dan hasil laut lain kembali meriah di pantai Tanjung Kepah, Lumut susulan kelonggaran dalam fasa PPN.
A
A
A

LUMUT - Aktiviti mengutip kerang di pantai Tanjung Kepah, Batu 9 Lekir di sini antara yang dinantikan penduduk setempat dan sekitarnya setiap kali berlakunya fenomena pasang surut air laut.

Biasanya orang ramai berkampung di kawasan itu sehingga ada antaranya mampu mengutip sehingga 50 kilogram kerang.

Selain kerang, terdapat juga hasil laut lain yang menjadi sumber rezeki tambahan penduduk; antaranya remis, kepah, kijing dan siput.

Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati kelonggaran yang diberikan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyebabkan pantai itu kembali meriah dengan aktiviti mencari hasil laut selain ada yang beriadah dengan hanya mandi dan bersantai di kawasan berkenaan.

Biarpun pengunjung datang bersilih ganti membawa bersama baldi dan sekop kecil, mereka tidak mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Penduduk kampung, Ahmad Zaidi Hashim, 45, berkata, musim kerang biasanya berlangsung sepanjang Ogos hingga Disember, malah sejak berpuluh tahun lalu, kawasan itu akan menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari negeri luar seperti Kedah dan Selangor.

Ahmad Zaidi
Ahmad Zaidi

Menurutnya, jika bernasib baik mereka yang mencari di sepanjang dua kilometer persisir pantai itu boleh mendapat hasil antara 10 hingga 50 kilogram setiap seorang.

Artikel Berkaitan:

"Selalunya orang akan mula turun ke pantai mulai jam 7 pagi sebab ketika itu air surut sehinggalah jam 1 tengah hari, orang ramai akan mula beredar kerana air laut akan pasang.

"Cuti hujung minggu paling meriah kerana ramai yang datang membawa keluarga sambil mencari hasil laut. Anak-anak juga boleh mandi dan bersantai di sini, sudah jadi seperti percutian keluarga," katanya.

Pengunjung, Nor Anissah Sabari, 47, dari Kampung Tanjung Sari, Teluk Intan berkata, kali terakhir mereka sekeluarga ke pantai berkenaan pada Mac lepas.

Hasil kerang sebanyak lapan kilogram yang diperolehi Nor Anissah hasil aktiviti mengutip hasil laut yang dilakukan bersama keluarga di pantai Tanjung Kepah, Lumut pada Isnin.
Hasil kerang sebanyak lapan kilogram yang diperolehi Nor Anissah hasil aktiviti mengutip hasil laut yang dilakukan bersama keluarga di pantai Tanjung Kepah, Lumut pada Isnin.

Menurutnya, kali ini dia tidak melepaskan peluang sama-sama meredah selut dan pasir untuk mencari hasil laut di situ.

Bagi mengelak orang yang ramai, dia lebih suka memilih berkunjung di situ pada hari biasa bekerja dan datang seawal jam 7 pagi.

"Sejak dahulu lagi kami sekeluarga memang suka mencari kerang di sini kerana hasilnya yang banyak.

"Macam sekarang ini, kerang memang tengah banyak dan saiznya pun sedang elok, memang seronok masa mencari. Tidak sampai empat jam, kami dapat hampir lapan kilogram hasil kerang dan ada juga antaranya remis dan siput," katanya.

Suri rumah, Noor Aziyan Abdul Mulok, 46, pula berkata, menjadi satu kepuasan apabila dapat mencari dan memasak hasil laut di situ untuk hidangan ahli keluarganya.

Noor Aziyan menunjukkan hasil remis yang diperolehi daripada aktiviti mengutip hasil laut di pantai Tanjung Kepah, Lumut pada Isnin.
Noor Aziyan menunjukkan hasil remis yang diperolehi daripada aktiviti mengutip hasil laut di pantai Tanjung Kepah, Lumut pada Isnin.

Katanya, hasil laut yang segar memberikan rasa lebih enak dan boleh dimasak dengan pelbagai termasuk paling digemari adalah dengan merebus atau bakar dan dicicah bersama air asam atau sos.

"Selalunya saya akan rendam terlebih dahulu semalaman untuk menghilangkan pasir-pasir, kemudian barulah dimasak.

"Hari ini kebetulan saya dapat cari banyak kerang, remis dan kijing, bolehlah buat makan ala-ala 'shell out' bersama keluarga nanti," katanya.

Kijing antara hasil laut yang boleh diperoleh di pantai Tanjung Kepah, Lumut.
Kijing antara hasil laut yang boleh diperoleh di pantai Tanjung Kepah, Lumut.