KPLB salur peruntukan tambahan RM38 juta

Mahdzir (kanan) melihat rumah seorang penduduk, Fatimah Ali, 83, yang dibaiki oleh KEDA di Kampung Setol di sini pada Isnin.
Mahdzir (kanan) melihat rumah seorang penduduk, Fatimah Ali, 83, yang dibaiki oleh KEDA di Kampung Setol di sini pada Isnin.
A
A
A

YAN - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM38 juta bagi membaik pulih infrastruktur akibat bencana kepala air di Yan dan Merbok di Kedah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, banyak infrastruktur terjejas teruk dan memerlukan pembaikan segera kerana melibatkan keperluan penduduk setempat.

Beliau memberitahu, sebanyak RM35 juta daripada peruntukkan itu disalurkan untuk menaiktaraf Loji Rawatan Air Tupah bagi menyedia akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 buah rumah penduduk yang terlibat.

"Selain itu di bawah peruntukan berkenaan KPLB turut menyalurkan masing-masing berjumlah RM1 juta bagi pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan bekalan air alternatif," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di lokasi terjejas di Pekan Yan pada Isnin.

Turut hadir, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan Negeri Kedah, Datuk Siti Aishah Ghazali.

Mahdzir ( tengah) mendengar penerangan berkaitan Tabika yang terjejas akibat banjir lumpur berkenaan.
Mahdzir ( tengah) mendengar penerangan berkaitan Tabika yang terjejas akibat banjir lumpur berkenaan.

Selain itu katanya, sebanyak RM500,000 juga disalurkan untuk program ameniti sosial termasuk baik pulih titi dan jambatan, RM355,000 bagi membaik pulih jalan kampung serta RM145,000 untuk menampung kos baik pulih empat Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Setol, Nor Faezah Ismail berkata, penduduk merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang menghulurkan bantuan membaiki rumah yang rosak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 28 buah rumah dalam Kampung Setol mengalami kerosakan akibat bencana terbabit.

"Alhamdulillah setelah lumpur di kawasan persekitaran rumah dibersihkan, KEDA terus hantar barang pembinaan seperti pasir, simen dan bata.

"Sekarang ini kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan terutama bagi rumah di kawasan tepi sungai yang mengalami kerosakan teruk sehingga mencecah kerugian ribuan ringgit," katanya.

Mahdzir (tiga,kanan) mendengar penerangan mengenai Loji Rawatan Air Tupah yang akan menerima peruntukan RM35 juta untuk kerja-kerja naik taraf bagi menyedia akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 buah rumah penduduk.
Mahdzir (tiga,kanan) mendengar penerangan mengenai Loji Rawatan Air Tupah yang akan menerima peruntukan RM35 juta untuk kerja-kerja naik taraf bagi menyedia akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 buah rumah penduduk.

Selain memantau perkembangan projek baik pulih di kawasan Yan, Mahdzir turut meluangkan masa meninjau Loji Rawatan Air Tupah di Merbok dan menziarahi penduduk yang terkesan di kawasan terbabit.

Pada 18 Ogos lalu, fenomena kepala air berlaku selepas hujan lebat luar biasa di puncak Gunung Jerai yang mempunyai ketinggian 1,217 meter sehingga menyebabkan seramai enam mangsa terkorban selepas dihanyutkan arus deras dan ditimpa tanah runtuh.

Kejadian turut mengakibatkan penduduk yang tinggal di kaki Gunung Jerai terjejas akibat banjir lumpur.