Bertempiaran lari diserbu tangkap ikan guna renjatan elektrik

Dua suspek cuba melarikan diri sebaik diserbu pihak berkuasa. Foto: Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
Dua suspek cuba melarikan diri sebaik diserbu pihak berkuasa. Foto: Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
A
A
A

JELEBU - Tiga lelaki yang leka menangkap ikan menggunakan cara renjatan elektrik bertempiaran lari selepas diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di kuala Sungai Pertang, Kampung Sungai Buluh, pada Ahad.

Timbalan Pegawai Perikanan Darat Negeri Sembilan, Mohd Azhar Jusoh berkata, pihaknya membuat rondaan bersama anggota polis Balai Simpang Durian bermula kira-kira jam 2.20 petang di kawasan sungai berkenaan.

"Rondaan dilakukan selepas kami menerima aduan terdapat aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan larangan iaitu renjatan elektrik di situ.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 petang, kelihatan tiga lelaki sedang menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik lalu serbuan dilakukan menyebabkan kesemua mereka melarikan diri, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Azhar berkata, pihaknya kemudiannya mengejar suspek lebih kurang 50 meter dari lokasi dan mendapati suspek mencampakkan peralatan merenjat elektrik serta ikan di tepi sungai sebelum menghilangkan diri di kawasan semak berhampiran.

Jelas beliau, pihaknya meneruskan usaha mencari suspek dan menunggu kira-kira 20 minit, namun suspek tidak muncul, seterusnya peralatan ditinggalkan disita.

"Pelbagai jenis ikan hasil kegiatan renjatan elektrik seberat 500 gram turut dirampas. Siasatan dilakukan mengikut Larangan 3(2)(iii) Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai (1976) Negeri Sembilan.

"Kesemua barang yang dirampas dibawa ke Pejabat Perikanan Daerah Jelebu untuk tindakan lanjut, susulan kejadian laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Klawang jam 5.55 petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohd Azhar berkata, aduan berhubung aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan merenjat elektrik sering diterima pihaknya di kawasan 'hotspot' di sepanjang Sungai Triang dari Kampung Juntai hingga Kampung Jerang.

"Begitu juga di Sungai Kenaboi dari Kampung Chennah hingga Kampung Tohor dan kebiasaan pelakunya adalah orang luar dengan dibantu oleh penduduk tempatan," katanya.