JPJ tawar gantian lesen percuma kepada mangsa banjir di Yan

Banjir lumpur tebal meliputi persekitaran perumahan akibat kesan fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada petang 18 Ogos lalu.
Banjir lumpur tebal meliputi persekitaran perumahan akibat kesan fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada petang 18 Ogos lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan gantian dokumen Lesen Memandu Malaysia (LLM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC) secara percuma kepada mangsa banjir di Yan.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif gantian dokumen berkenaan hanya berkuatkuasa bermula pada Isnin sehingga 16 September ini.

“JPJ amat prihatin dengan musibah seperti banjir yang menimpa penduduk di beberapa kawasan dalam negara termasuk di Titi Hayun, Yan pada 18 Ogos lalu.

"Sehubungan itu, kita melaksanakan inisiatif 'touch point' terhadap semua mangsa banjir di lokaliti tersebut yang telah kehilangan atau mengalami kerosakan dokumen penting JPJ antaranya, lesen LLM, LKM atau VOC,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, pemilik perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen tersebut dan hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak.

“Mereka boleh mendapatkan gantian dokumen baharu di mana-mana pejabat kaunter JPJ negeri atau cawangan JPJ,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, JPJ turut memberi kelonggaran berkaitan pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana kenderaan perdagangan atau persendirian yang terlibat dałam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan kepada mangsa banjir sehingga keadaan terkawal sepenuhnya.

“Dalam menyokong usaha kerajaan menangani fenomena banjir di kawasan terkesan, JPJ seluruh negara akan sentiasa siap siaga untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan sama ada tenaga manusia atau mengatur gerak aset JPJ sekiranya diperlukan,” jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 Ogos lalu, enam mangsa terkorban selepas berlaku fenomena kepala air dari Gunung Jerai, mengakibatkan banjir besar yang menjejaskan lebih 800 rumah di daerah Yan dan 200 di Kuala Muda.

Kejadian itu turut menyebabkan 124 premis perniagaan dan 14 chalet pelancongan desa mengalami kerosakan.