Pemandu Preve tidak mengaku salah sebabkan tiga kematian

Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Isnin atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan tiga kematian, bulan lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Isnin atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan tiga kematian, bulan lalu.
A
A
A

MANJUNG - Seorang jurujual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Isnin atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut, bulan lalu.

Tertuduh, A R Sathiya Ganes, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa memandu kereta secara berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain hingga menyebabkan kematian kepada penunggang motosikal, Mohd Suhail Zainal, 22, pembonceng, Hasrandy Bahrum, 27, dan seorang lagi penunggang motosikal, Mohd Nur Hisham Hassan, 29.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4, Jalan Kampung Acheh-Sitiawan di hadapan Caltex Kampung Acheh dalam daerah Manjung kira-kira jam 5.30 petang pada 21 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam S Dharmanathan memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh masih menanggung ibu bapa selain hilang mata pencarian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan dua minggu sekali serta tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan keputusan ujian kimia.

Dalam prosiding sama, Sathiya Ganes turut dibenarkan diikat jamin RM2,000 selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan methamphetamine ke dalam tubuh sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada jam 4 petang, 23 Ogos lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memandu kereta Proton Preve ketika kejadian telah menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Manjung pada 23 Ogos lalu untuk membantu siasatan dan ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif methamphetamine.

Dalam nahas jam 5.30 petang itu, sebuah kereta Proton Preve dari Lekir menghala ke Kampung Acheh terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh enam motosikal ditunggang dan dibonceng pekerja kilang Sapura Energy dari arah Kampung Acheh menuju ke Sitiawan.

Selain tiga disahkan maut, kejadian turut menyebabkan enam yang lain termasuk seorang wanita cedera.