Sarawak rancang bina sekolah khas kanak-kanak istimewa

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. - Foto Bernama
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sarawak merancang untuk mewujudkan sekolah rendah khas bagi kanak-kanak istimewa bagi memastikan golongan itu mendapat pendidikan yang bersesuaian termasuk guru yang pakar dalam bidang psikologi serta kesihatan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata cadangan itu sedang diteliti oleh unit khas di bawah Kementerian Kebajikan Masyarakat, Kesejahteran Komuniti, Wanita dan Kanak-kanak, dan keputusan akan diumumkan dalam tempoh enam bulan lagi.

“Saya juga telah mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk mendirikan sekolah tersebut agar dapat diakses oleh penduduk sekitar Kuching.

“Jika projek pertama berjaya, pembinaan sekolah rendah khas seterusnya adalah di bandar-bandar utama seperti di Miri dan Sibu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani di sini, hari ini.

Menurutnya kerajaan negeri bercadang menjadikan Australia sebagai model peranan dalam pembinaan sekolah khas tersebut.

“Untuk membesarkan seorang anak istimewa bukanlah satu perkara yang mudah, seperti di Australia, kanak-kanak istimewa diberikan pendidikan khas bagi mengenal pasti kebolehan mereka. Sekurang-kurangnya setelah masuk ke sekolah menengah, prestasi mereka pulih sebanyak 60 peratus,” katanya.

Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani merupakan sebuah pusat yang menyediakan perkhidmatan sokongan kebajikan bagi sebuah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

Pusat ini juga menyediakan khidmat nasihat, bimbingan kekeluargaan dan sosial kepada masyarakat sekitar secara percuma dan setakat ini seramai 60 individu kurang upaya berdaftar dengan PDK itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: