Penggunaan media sosial tinggi punca jenayah siber meningkat

Lam Thye
Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan media sosial yang lebih tinggi ketika pelaksanaan bekerja dari rumah dilihat menjadi antara punca berlakunya peningkatan kes jenayah siber di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, susulan keadaan itu sekali gus menjadikan rakyat di negara ini sasaran penjenayah tersebut.

Menurut beliau, pelbagai kes penipuan di internet seperti Macau Scam, Love Scam, pinjaman tidak wujud dan penipuan SMS telah menelan kerugian hampir ratusan juta ringgit.

"Tatkala negara dilanda wabak Covid-19 dan kebanyakan daripada mangsa bekerja di rumah, penipuan sebegini semakin licik berlaku.

"Tidak hairanlah hari demi hari media semakin kerap melaporkan mengenai kes tentang ramai rakyat yang ditipu oleh pelbagai penjenayah siber.

"Walau pun pada keseluruhannya kes jenayah dilihat semakin turun, tetapi sebaliknya kes jenayah indeks siber semakin membimbangkan saban hari," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Lam Thye menegaskan, sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa memperketatkan undang-undang siber dengan mengenakan hukuman yang lebih tegas terhadap penjenayah yang didapati terlibat dalam sindiket ini.

"Pelbagai cara telah diikhtiarkan oleh pihak berkuasa bagi menentukan langkah yang paling efektif untuk memerangi penjenayah siber ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, untuk mengambil tindakan yang benar-benar wajar, kerjasama daripada orang awam khasnya sangat-sangat diperlukan untuk memerangkap penjenayah siber yang licik ini," katanya.

Masyarakat ujar beliau, juga diingatkan agar lebih berhati-hati ketika ingin menjawab panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

"Sekiranya mendapat panggilan daripada nombor asing dan kemudian mereka memperkenalkan diri daripada agensi-agensi utama negara seperti mahkamah, balai polis mahupun bank negara, segera matikan perbualan dan terus membuat laporan kepada balai polis berdekatan," katanya.