500 vaksin secara walk-in di Damansara

Jamaliah pada program vaksin di Kampung Sungai Kayu Ara pada Ahad.
Jamaliah pada program vaksin di Kampung Sungai Kayu Ara pada Ahad.
A
A
A

DAMANSARA - Penduduk sekitar Damansara boleh hadir secara 'walk-in' bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dos pertama di Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara di sini, pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, sebanyak 500 bekalan vaksin disediakan terbuka kepada warganegara dan bukan warganegara yang berdokumen sehingga jam 3.30 petang.

Menurutnya, program tersebut anjuran bersama di bawah Pusat Khidmat DUN Bandar Utama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling yang diadakan selama dua hari bermula Sabtu.

"Pejabat saya dimaklumkan oleh pihak PKD Petaling, terdapat slot vaksin yang masih berbaki untuk Ahad. Oleh itu, kami menerima pengunjung 'walk-in' bergantung kepada bekalan vaksin.

"Pastikan mereka yang hadir berumur 18 tahun dan ke atas dan belum menerima suntikan, pengambilan dos kedua adalah tidak dibenarkan," katanya ketika siaran langsung di Facebook beliau pada Ahad.

Beliau berharap peluang itu digunakan sebaiknya oleh orang awam khususnya kepada bukan warganegara dalam usaha memastikan imuniti kelompok dicapai.

"Tiada lagi 'walk-in' dibenarkan kepada bukan warganegara di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan perlu menunggu janji temu di aplikasi MySejahtera. Jadi saya harap gunakan peluang ini diambil untuk percepatkan giliran," katanya.

Tambahnya, had masa ditetapkan bermula jam 9 pagi dan berhenti rehat jam 12.30 tengah hari sebelum dibuka semula pada jam 2 petang.

Artikel Berkaitan: