Individu lengkap vaksin dibenar bekerja di sektor pembuatan di Johor

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hanya individu yang lengkap vaksinasi Covid-19 selepas hari ke-14 atau 28 dibenarkan bekerja di sektor pembuatan di Johor.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, tempoh 14 hari itu untuk penerima vaksin Covid-19 dua dos seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, manakala 28 hari untuk penerima satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino.

"Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara yang berkuat kuasa di Johor sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu diguna pakai bermula 20 Ogos dan telah dikemas kini pada 3 September, sektor pembuatan dibenarkan beroperasi mengikut kadar vaksinasi lengkap pekerja.

"Adalah diingatkan bahawa individu yang telah lengkap divaksin hanyalah mereka yang telah memenuhi kriteria-kriteria tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut mengingatkan syarikat dalam sektor pembuatan supaya perlu melaksanakan kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) terhadap pekerja pada setiap dua minggu dengan kos ditanggung oleh syarikat.

"Ingin ditegaskan kepada majikan dan pekerja sektor pembuatan agar sentiasa mematuhi SOP dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan sebelum memulakan semula operasi agar keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin.

"Saya berharap agar kemudahan yang diberikan ini dapat merancakkan kembali sektor pembuatan dan ekonomi di Johor dan seterusnya membantu majikan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: