Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN amat mengecewakan

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) amat mengecewakan.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bekas Perdana Menteri itu gagal menguruskan respons negara dalam wabak Covid-19 sama ada daripada segi kesihatan, ekonomi mahupun pendidikan ketika memegang tampuk pemerintahan negara.

Malah katanya, Muhyiddin yang bertanggungjawab di atas penderitaan rakyat ketika ini.

"Beliau juga bertanggungjawab melaksanakan darurat, kononnya dengan tujuan memerangi Covid-19, tetapi wabak Covid-19 menjadi lebih serius di akhir darurat.

"Pengakhiran darurat pula dibuat tanpa perbahasan di Parlimen, sehingga pihak Istana Negara sendiri menegur tindakan kerajaan Muhyiddin yang mengelirukan Parlimen dan ini juga membawa kepada kejatuhan beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata, pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN akan menambah satu lagi lapisan birokrasi yang tidak wajar kerana beliau masih perlu membentangkan saranan MPN kepada Jemaah Menteri dahulu.

Beliau turut mempersoalkan sama ada keputusan Ismail Sabri itu menunjukkannya tidak yakin dengan menteri-menterinya.

"Sejauh manakah Muhyiddin bersedia memberi saranan kepada Ismail Sabri untuk membatalkan atau menambah baik mana-mana dasar pengurusan pandemik yang digubal semasa beliau menjadi Perdana Menteri, tetapi tidak berkesan dalam menangani pandemik?

Artikel Berkaitan:

"Adakah bukan akan ada kecenderungan belas Perdana Menteri itu akan cuba mempertahankan legasinya dan bukan menilainya secara objektif?" soalnya.

Beliau turut hairan mengapa perlu Muhyiddin diberikan tempat di dalam kerajaan Ismail Sabri dan mempersoalkan adakah ia untuk tujuan survival politik Ismail Ismail semata-mata.

"Sampai bila rakyat dan negara perlu menjadi korban kepentingan politik?" ujarnya.