X

Kindly register in order to view this article
!

Amalkan budaya politik sihat

A
A

BULAN lepas, dilaporkan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah diterjah dan dikejar oleh sekumpulan penyokong pembangkang yang mencacinya dengan kata-kata kesat, selain menghalangnya untuk pergi ke kereta.

Ahli Parlimen Muar itu juga mendakwa bahawa Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris telah mencekak lehernya dan mengugutnya.

Ada yang mengatakan bahawa Syed Saddiq telah membuat provokasi dengan melalui kawasan tersebut yang telah dikhaskan untuk penyokong pembangkang semasa penamaan calon Pilihan Raya Kecil Semenyih.

Tetapi, sekiranya benar itu kawasan penyokong BN sekalipun, apakah fakta itu mewajarkan beliau diserang? Di mana perhitungan kita sebagai manusia jika kita sanggup bertindak ganas hanya kerana perbezaan politik?

Wan Muhammad Azri telahpun didakwa atas peristiwa tersebut. Beliau didakwa di Mahkamah Majistret atas dua tuduhan mengaib dan mendatangkan kecederaan ke atas Syed Saddiq.

Pertuduhan-pertuduhan ke atas Wan Muhammad Azri adalah di bawah Seksyen 509 dan 323 Kanun Keseksaan. Maka sama ada Wan Muhammad Azri benar-benar mencederakan dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada Syed Saddiq belum diputuskan lagi.

Tetapi terdapat video berkenaan dengan tindakan sesetengah penyokong pembangkang pada hari tersebut.

Terdapat juga video yang mana perarakan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dihujani dengan kata-kata kesat oleh sesetengah penyokong.

Apa yang membimbangkan adalah bahawa budaya politik kekasaran dan serangan verbal seperti apa yang berlaku sewaktu penamaan calon di Semenyih seperti semakin menjadi-jadi.

Baru-baru ini juga, dilaporkan bahawa Ketua UMNO Bahagian Puchong merangkap bekas ketua pembangkang Selangor Mohamed Satim Diman dalam suatu ucapan di Semenyih telah berkata bahawa demi PRK yang berlaku di Selangor akibat kematian adalah amaran daripada ALLAH SWT supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

Kenyataan ini telah dikecam oleh banyak pihak, termasuklah waris-waris wakil rakyat yang meninggal dunia. Satim telah meminta maaf atas kenyataannya tetapi mendakwa bahawa ia telah ‘disalah tafsir’.

Adakah perlu seorang ahli politik mengeluarkan ucapan seperti ini? Ajal dan maut itu ketentuan ALLAH SWT, tiada kena-mengena dengan politik. Mengapa orang seperti Satim merasakan bahawa perkara ini boleh dijadikan modal politik? Ada perkara yang sewajarnya melangkaui politik.

Budaya politik samseng, hina-menghina, fitnah-memfitnah dan menjadikan agama serta ajal maut sebagai modal seperti ini tidak patut mendapat tempat dalam sebuah negara demokrasi yang bertamadun seperi Malaysia.

Kita tidak boleh teruskan dengan perkembangan seperti ini. Ini bukan soal mana-mana parti; bukan terhad pada Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Pas atau sesiapa. Ini adalah tentang kita sebagai suatu masyarakat yang mahu menuju kepada suatu negara demokratik yang matang dan sejahtera.

Untuk mencapai sasaran itu, kita harus pastikan bahawa kita tidak ada toleransi langsung pada budaya politik yang tidak sihat seperti ini. Kita tidak mahu suatu hari nanti, perkara seperti ini menjadi sesuatu yang biasa dan diterima di Malaysia.

Kita mesti berusaha untuk menjadi lebih baik. Mari semua amalkan budaya politik yang sihat.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!