MFL serah SOP kemasukan penyokong ke stadium

Ab Ghani (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Khairy Jamaluddin di pejabatnya, di Putrajaya pada Jumaat.
Ab Ghani (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Khairy Jamaluddin di pejabatnya, di Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai permohonan cadangan membolehkan penonton kembali ke stadium untuk menyaksikan baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun ini.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, permohonan itu diserahkan dalam satu pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di pejabatnya, di Putrajaya pada Jumaat.

“Permohonan mengenai cadangan prosedur operasi standard (SOP) Liga Malaysia 2021 itu termasuk kebenaran untuk kemasukan semula penyokong yang sudah mengambil dua dos vaksin.

“MFL juga turut memberikan penjelasan berkenaan perkembangan Liga-M yang sudah bermula sejak 5 Mac menerusi SOP yang ketat seperti yang ditetapkan olek Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya.

Dalam masa sama, Ab Ghani turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan yang baharu.

Pada pertengahan Mac lalu, MKN akhirnya bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium bagi kejohanan sukan seperti Liga-M berkuat kuasa 1 April lalu, selepas lebih setahun saingan berlangsung tanpa penyokong susulan penularan Covid-19.

Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras yang dipilih sebagai projek perintis menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton menjadi dua venue terawal menerima semula kehadiran penonton masing-masing pada 2 dan 3 April.

MKN selepas itu memberi kebenaran kepada MFL bagi membenarkan kembali kemasukan penonton ke stadium untuk kesemua perlawanan Liga-M bermula 6 April.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun ‘keistimewaan’ itu ditarik balik susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.