X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

'Tunggu dulu, jangan melancong ke Langkawi lagi'

Dataran Lang mercu tanda Langkawi.
A
A

ALOR SETAR - Segelintir penduduk Langkawi masih gusar untuk membenarkan pulau pelancongan itu menerima kehadiran pelancong selepas kerajaan mengumumkan Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan bermula 16 September ini.

Setiausaha Pertubuhan Komuniti Langkawi, Amar Pared Mahamud, 30, tidak bersetuju Langkawi dibuka semula kepada pelancong luar dalam masa terdekat memandangkan trend penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti setempat masih tinggi.

Menurutnya, walaupun Langkawi telah mencapai imuniti kelompok dengan 90.2 peratus penduduk telah menerima suntikan vaksin dos pertama, manakala 85.8 peratus bagi dos kedua, namun kes baharu harian masih membimbangkan.

Amar Pared Mahamud
Amar Pared Mahamud

“Tunggu dulu, jangan melancong ke Langkawi lagi. Mana-mana individu yang mahu bercuti pasti mencari lokasi percutian yang selamat dan bebas daripada sebarang risiko berbahaya.

"Seeloknya pintu masuk ke Langkawi dibuka kepada orang ramai setelah kes harian Covid-19 menurun kepada 10 kes baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Amar Pared berkata, berdasarkan data dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi menunjukkan Langkawi dikategorikan sebagai zon merah dengan jumlah kes setakat Khamis adalah 3,931 kes.

“Dalam tempoh seminggu ini, kes baharu harian tertinggi direkodkan pada 28 Ogos sebanyak 212 kes dan 118 kes pada semalam (Khamis). Dalam tempoh itu, kes harian antara 91 hingga 70 kes baharu.

Ramai bertanya sesuaikah untuk datang bercuti ke Langkawi? Bagi saya, bukan masanya lagi. Belum pun dibuka kepada pelancong, kes harian sudah banyak, dibimbangi kes kembali melonjak dengan kehadiran varian baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Perbandaran Langkawi Zon Ayer Hangat itu tegaskan, sekiranya ada jaminan daripada kerajaan untuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan kemasukan pelancong dipertingkatkan, kemungkinan ia boleh dipertimbangkan.

“Sekiranya kes harian bawah 10 kes selama seminggu berturut-turut bolehlah Majlis Keselamatan Negara (MKN) pertimbangkan untuk benarkan pelancong masuk ke Langkawi untuk bercuti.

"Namun saya tetap bimbang akan bahaya varian-varian baharu menular ke Pulau Langkawi sekiranya dibuka kepada pelawat walaupun tindakan itu dapat merancakkan kembali sektor pelancongan,” katanya.

Pengurus Restoran, Zariff Thaqif, 26, menolak cadangan kerajaan menjadikan Langkawi sebagai ‘tikus makmal’ untuk melakukan kaji selidik bagi pembukaan sektor pelancongan.

Zariff Thaqif
Zariff Thaqif

“Jika Langkawi menerima kemasukan pelancong luar, bukan sahaja berisiko mencetuskan penularan Covid-19 kepada pelancong malah kepada sektor perniagaan. Penularan tidak terkawal kelak berisiko wujudkan kluster baharu menyebabkan pintu Langkawi ditutup semula.

Walaupun penduduk Langkawi telah divaksin tetapi penularan tempatan masih tinggi dan sukar dikawal. Ia juga membuatkan penduduk tempatan bimbang jika penularan bertambah buruk,” katanya.

Menurutnya, keselamatan dan kesihatan pelancong juga perlu dititikberatkan bagi menjaga nama baik pulau pelancongan itu.

“Kalau ada pelancong dijangkiti ketika berada di Langkawi, bukan sahaja menjejaskan imej perniagaan tetapi nama baik Langkawi turut terkena tempias,” katanya.

Penjawat awam, Marwan Muhamed, 32, berharap pembukaan sektor pelancongan di Langkawi ditangguhkan sementara waktu sehingga kes harian Covid-19 menurun.

Marwan Muhamed
Marwan Muhamed

“Kemasukan pelancong lengkap dua dos suntikan vaksin tidak menjamin individu itu tidak berisiko dijangkiti, atau pembawa virus berkenaan.

Pulau Langkawi kelak menerima impak kurang baik apabila ada pelancong pulang ke tempat asal dijangkiti di pulau ini dan mencetuskan kluster Langkawi. Adalah lebih baik beri tumpuan elak penularan terlebih dahulu,” katanya.

Pemandu bot pelancong, Mohd Suhairi, 31, mencadangkan agar kerajaan menunggu sehingga Langkawi kembali ke zon hijau sebelum melaksanakan program gelembung pelancongan.

Mohd Suhairi
Mohd Suhairi

“Kes Covid-19 masih tinggi dan Langkawi adalah zon merah, saya harap biarlah tunggu sehingga reda, andai tetap mahu menjadikan Langkawi sebagai projek perintis pelancongan,” katanya.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik memutuskan membuka semula sektor pelancongan di beberapa destinasi bawah program gelembung pelancongan dan untuk permulaan, Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 September ini.

Bagaimanapun, katanya, projek rintis program gelembung pelancongan adalah berdasarkan syarat-syarat yang akan ditetapkan kerajaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!