BN menang di Semenyih: Kejayaan Melayu, Islam - Wan Rosdy

Wan Rosdy Wan Ismail - Foto Bernama
Wan Rosdy Wan Ismail - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - BN Pahang menyifatkan permuafakatan erat antara UMNO dan Pas membuahkan hasil yang cukup membanggakan pada PRK Semenyih.

Melalui kenyataan di Facebooknya, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy wan Ismail berkata, beliau menyifatkan kemenangan BN pada PRK itu sebagai kemenangan kepada Melayu dan Islam tanpa meminggirkan kaum-kaum lain.

Menurutnya, beliau berterima kasih dan menghargai usaha seluruh kepimpinan, ahli-ahli dan jentera Pas yang bersungguh-sungguh membantu memastikan kemenangan BN di Semenyih.

"Momentum kejayaan BN di Cameron Highlands akhirnya berjaya dibawa ke bumi Semenyih. Saya harap momentum ini dapat diteruskan di PRK Dun Rantau tidak lama lagi.

"Kejayaan ini juga hasil gerak kerja berfokus jentera BN yang tidak kenal penat lelah sepanjang dua minggu berkempen,"katanya.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi UMNO Pahang berkata, kerjasama jentera BN dari luar Selangor dan juga jentera tempatan juga cukup menyerlah dengan 'Semangat Mahu Menang' cukup tinggi.

"Kejayaan ini satu menifestasi rasa tidak puas hati rakyat terhadap Kerajaan PH yang gagal menepati janji dan tidak peduli nasib rakyat yang terpaksa berdepan pelbagai kepayahan termasuk peningkatan kos sara hidup.

"Majoriti rakyat sudah mulai sedar mengenai kepincangan Kerajaan PH dan jentera BN harus memanfaatkan kesempatan ini sekali gus bekerja keras bagi memastikan kejayaan berterusan BN di Dun Rantau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pengundi di Semenyih yang telah memberi kepercayaan kepada BN kali ini.