Pengaruh kaum Melayu Islam penting dalam pentadbiran - Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG. - Foto Bernama.
ABDUL HADI AWANG. - Foto Bernama.
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kestabilan negara itu bergantung kepada dasar pentadbiran yang dibawa dan bukannya dengan jumlah ahli parlimen sesebuah etnik adalah tidak tepat.

Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pengaruh sesebuah kaum atau etnik dalam menentukan kekuasaan nasional sangat penting.

Ujar Ahli Parlimen Marang itu, ia dibuktikan dengan pandangan ilmuan Islam yang mana pemilihan ketua negara mesti berdasarkan etnik atau kaum yang memiliki pengaruh tinggi.

“Para ulama berhujah bahawa syarat supaya pemimpin daripada kalangan Quraisy itu bermaksud bahawa ketua negara itu wajib daripada kalangan kaum penganut Islam yang paling kuat pengaruhnya iaitu kaum yang mendominasi umat Islam.

“Maka, dalam politik Malaysia, bangsa Melayu yang menganut Islam itu wajib memimpin, memerintah dan mentadbir masyarakat majmuk yang termasuk rakyat bukan Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Baru-baru ini, Anwar menganggap dakwaan Abdul Hadi mengenai kedudukan ahli Parlimen Melayu dalam kerajaan merupakan perkiraan yang tidak betul.

Jelas beliau, untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil ia tidak bergantung kepada jumlah ahli parlimen mana-mana etnik di parlimen sebaliknya dasar yang dilaksanakan.

Bahkan Anwar juga menganggap menilai kestabilan kerajaan dengan hanya bersandarkan kepada faktor bangsa adalah pertimbangan yang jumud.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menambah, falsafah politik Pakatan Harapan (PH) membawa konsep sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia’ yang menolak kepimpinan Melayu Islam tanpa mempedulikan aspek iman, akhlak dan integriti.

Kata beliau, kepimpinan sebegini tidak akan bertahan lama kerana terdapat kelompongan dalam pentadbiran.

“Kita menyaksikan contoh kerajaan seperti ini hanya dapat bertahan buat sementara waktu yang pendek dan rapuh, kerana pemilihan pemimpin bukan daripada kaum dominasi seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat, Chile, Fiji, dan terkini di United Kingdom,” jelasnya.