Dua lelaki ditahan miliki daun, jual air ketum

Beng Yeow
Beng Yeow
A
A
A

KULAI- Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai memiliki dan mengedar air ketum di sebuah rumah di Taman Sepakat Jaya, Senai, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 46 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 4 petang.

“Dalam serbuan itu polis merampas 47 bungkus plastik hitam dan biru yang mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 490.4 kilogram (kg).

"Dua buah tong ais setiap satunya berisi 30 botol cecair berwarna hijau disyaki air ketum dengan anggaran isi padu kasar 90 liter turut dirampas selain beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses air ketum," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurut Beng Yeow, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam memproses dan mengedar air ketum di Kulai dan Johor Bahru.

"Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah. Suspek berusia 46 tahun pernah ditangkap pada Jun lalu atas kesalahan sama.

"Selain itu, suspek terbabit turut mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan: