Asyik tidur, tidak sedar tilam basah kena air banjir

Zulaikha (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan makanan kepada Badariah di pekarangan rumahnya di Kampung Masjid, Masai, Pasir Gudang pada Jumaat.
Zulaikha (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan makanan kepada Badariah di pekarangan rumahnya di Kampung Masjid, Masai, Pasir Gudang pada Jumaat.
A
A
A

PASIR GUDANG - Tidur digenangi banjir kilat! Itu yang berlaku terhadap seorang wanita yang tidak menyedari rumahnya dinaiki air akibat hujan lebat di Kampung Masjid, Masai di sini pada Khamis.

Badariah Bujang, 54, menyedari air sudah memasuki rumahnya pada jam 2.30 pagi selepas tilamnya basah sebelum bangun dan mengejutkan anak-anaknya untuk menyelamatkan barang-barang berharga.

"Saya bingkas bangun menghantar mesej dalam kumpulan WhatsApp kampung itu memberitahu jiran-jiran supaya bangun kerana banjir. Terdapat 46 rumah di Kampung Masjid yang berdekatan Sungai Masai dilanda banjir.

"Tiada barang-barang yang dapat diselamatkan kerana ketika sedar air sudah naik lebih setengah meter. Mesin basuh, peti ais dan perkakas elektrik lain habis musnah," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di kampung berkenaan, pada Jumaat.

Dalam pada itu, jirannya, Hamidah Bujang, 56 berkata, dia juga tidak sempat menyelamatkan barangan rumah kecuali dokumen penting yang sudah siap disimpan di dalam plastik.

"Semua dokumen penting saya sudah siap simpan kerana setiap kali hujan lebat akan berlaku banjir kilat. Setiap kali hujan lebat penduduk kampung ini yang berdekatan sungai tidak lena tidur kerana bimbang banjir berlaku.

"Semasa banjir semalam saya meminta anak-anak dan adik mengalihkan motosikal dan kereta ke kawasan tinggi di jalan utama namun tidak sempat kerana air Sungai Masai yang berada di belakang rumah naik dengan cepat," katanya.

Dia berharap, syarikat Ranhill SAJ akan mengurangkan bayaran bil air setiap kali banjir berlaku kerana penduduk akan menggunakan air dalam kuantiti yang banyak untuk membersihkan rumah.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Azhar, 50 berkata, banjir di kampung itu sudah lebih empat kali berlaku dalam tahun ini akibat Sungai Masai melimpah dan tidak sempat menyelamatkan barangan rumah kecuali dokumen penting.

"Semua barang rosak termasuk buku teks sekolah dan kerja sekolah anak-anak jiran yang dibuat menerusi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) habis dihanyut air " katanya.

Sementara itu, Datin Zulaikha Makar yang mewakili Pusat Khidmat DUN Permas berkata, sumbangan diberikan membabitkan 600 pek sarapan pagi dan 600 pek makan tengahari selain tilam, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka.

"Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa banjir. Kita memberikan sumbangan kepada tiga kampung yang terlibat banjir iaitu Kampung Masjid, Kampung Sepakat dan Desa Bakti," katanya.