Buka Langkawi: Kedah titik beratkan aspek SOP, vaksinasi

Pulau Langkawi dipilih sebagai projek lapangan ujian untuk menyemarakkan kembali industri pelancongan yang telah lama terjejas akibat penularan Covid-19
Pulau Langkawi dipilih sebagai projek lapangan ujian untuk menyemarakkan kembali industri pelancongan yang telah lama terjejas akibat penularan Covid-19
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembukaan semula sektor pelancongan di Pulau Langkawi bermula 16 September ini.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, pembukaan itu sekali gus menjadikan Langkawi sebagai lokasi pelancongan pertama di Malaysia yang dibuka dan dipilih sebagai projek rintis program Gelembung Pelancongan pasca Covid-19.

Katanya, aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap dititik berat walaupun sektor pelancongan di pulau itu dibuka kelak.

"Kita akan memberi penekanan yang tegas seperti memastikan pelancong yang hadir telah mendapat dua dos vaksin lengkap, mendaftar di MySejahtera (Check-in), memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial.

"Ini kerana kita mengambil iktibar daripada lokasi pelancongan terkenal di Phuket dan Bali yang terlebih dahulu dibuka dan kini telah ditutup kembali susulan penularan kes jangkitan baharu terutamanya melibatkan varian Delta," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, setakat Ogos, Pulau Langkawi telah mencapai kadar vaksinasi sebanyak 89.2 peratus bagi dos pertama dan 82.3 peratus bagi dos kedua.

"Ia sekali gus telah mencapai imunisasi kelompok seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Selain itu, lokasi pelancongan lain di negeri ini juga sedang bertungkus lumus mencapai kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 80 peratus seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan bagi membolehkan sektor pelancongan dibuka semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Firdaus menambah, beliau berharap usaha ini akan membawa pemain industri tempatan keluar daripada kemelut sektor pelancongan akibat Covid-19 yang berlarutan hampir dua tahun.

"Semoga lokasi sektor pelancongan di negeri lain turut diberi kebenaran untuk beroperasi supaya setiap pemain industri mendapat manfaat dan saling bekerjasama mempromosi produk pelancongan antara negeri," katanya.