USAS tawar atlet lanjut pengajian

Nordin (kiri) menunjukkan dokumen NoU yang ditandatangani bersama MSN Perak dengan USAS untuk memberi peluang atlet menyambung pengajian di universiti berkenaan.
Nordin (kiri) menunjukkan dokumen NoU yang ditandatangani bersama MSN Perak dengan USAS untuk memberi peluang atlet menyambung pengajian di universiti berkenaan.
A
A
A

IPOH - Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menawarkan peluang kepada atlet di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak menyambung pengajian menerusi Program Atlet Bergraduat oleh universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata, tawaran yang diperkenalkan USAS itu bertujuan bagi menjamin masa hadapan golongan atlet di negeri ini.

Menurutnya, melalui program pertama ini, Program Diploma Pentadbiran Perniagaan ditawarkan kepada atlet-atlet MSN Perak yang berminat.

"Antara kelebihan menyertai program ini adalah USAS menawarkan pengecualian yuran sebanyak 30 peratus sekiranya 20 orang atlet menerima tawaran ini.

"Selain daripada itu, kelas bagi atlet ini direka khas pada waktu sebelah malam tanpa menggangu latihan pada waktu pagi dan petang," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) antara USAS dan MSN Perak, secara maya, di sini pada Jumaat.

NoU tersebut ditandatangani antara Nordin serta Pengarah MSN Perak, Johari Sham Ahmad Affendi sambil disaksikan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Nordin berharap menerusi NoU antara USAS dan MSN Perak akan dapat memberi harapan kepada atlet apabila mereka berhenti atau bersara daripada dunia sukan apabila mereka turut memiliki diploma.

Menurutnya, diploma tersebut boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan mereka selepas berjaya sebagai atlet.

Artikel Berkaitan:

"Dalam usaha yang lain, USAS juga menawarkan biasiswa kepada pelajar yang memiliki 7A di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma pada 'pointer' 3.75 ke atas.

"Diharapkan juga biasiswa daripada MSN Perak dan kerajaan negeri dapat membantu atlet-atlet ini untuk terus berjaya," katanya.