X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Pekerja enggan vaksin boleh diambil tindakan

M Saravanan - Foto Bernama
A
A

IPOH - Pekerja yang enggan menerima vaksin masih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 walaupun tiada akta khas berkaitan vaksinasi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, AKKP 1994 merupakan akta yang memastikan persekitaran tempat kerja selamat dan tidak mengancam kesihatan pekerja.

Menurutnya, tindakan pekerja tidak mahu mengambil vaksin boleh dianggap sebagai mengancam keselamatan dan kesihatan pekerja lain di tempat mereka bekerja.

"Memang belum ada peraturan atau akta mewajibkan pekerja ambil vaksin tetapi kita boleh gunakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk ambil tindakan.

"Sepatutnya ambil vaksin ini saya rasa tak perlu dipertikai sebab semua rakyat sedar kita nak bebas daripada Covid-19, kita perlu lakukan bersama-sama untuk ambil vaksin," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan faedah Perkeso kepada waris pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas terlantar akibat diserang seorang lelaki seperti tular sebelum ini di Taman Buntong Ria, di sini pada Jumaat.

Saravanan berkata, keperluan untuk mengambil vaksin sepatutnya tidak memerlukan sebarang akta baharu kerana semua penduduk di negara ini sama ada warganegara atau bukan warganegara perlu divaksin untuk mengawal jangkitan Covid-19.

Katanya, AKKP 1994 itu masih boleh dikuatkuasakan berikutan risiko kesihatan tempat kerja jika ada dalam kalangan pekerja yang tidak menerima vaksin.

Jelas beliau, bukan itu sahaja, jika kilang atau premis yang tidak mempunyai ruang pengudaraan selamat seperti ditetapkan juga boleh dikenakan tindakan di bawah akta sama.

Pada 30 Ogos lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa majikan supaya tidak membuang pekerja yang enggan divaksin sebaliknya isu tersebut perlu ditangani dengan bijak dan berhemah.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihak syarikat perlu peka dan bertimbang rasa terhadap pekerja yang tidak mengambil vaksin kerana beberapa faktor yang menghalang mereka daripada berbuat demikian.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!