Indeks eksport, import rekod pertumbuhan 1.3 peratus pada Julai

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

INDEKS bulanan bagi nilai seunit eksport dan import Malaysia terus merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 1.3 peratus pada Julai tahun ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan indeks nilai seunit eksport disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (positif 6.7 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (positif 1.1 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (positif 0.5 peratus).

“Sementara itu, indeks volum eksport merekodkan penurunan 9.0 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks pelbagai barang keluaran kilang (negatif 22.9 peratus), barang-barang keluaran kilang (negatif 12.0 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (negatif 7.7 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim menguncup 20.7 peratus daripada 172.8 mata kepada 137.0 mata.

“Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit bertumbuh 14.3 peratus, manakala, indeks volum eksport susut 8.2 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, peningkatan indeks nilai seunit import pula disumbangkan oleh pertumbuhan indeks minyak galian (positif 8.1 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (positif 0.7 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (positif 0.4 peratus).

“Sebaliknya, indeks volum import menyusut 0.8 peratus pada Julai 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (negatif 19.1 peratus), barang-barang keluaran kilang (negatif 13.6 peratus) dan bahan kimia (negatif 9.8 peratus).

“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Julai 2021 mencatatkan penurunan 9.5 peratus daripada 170.6 mata kepada 154.3 mata.

Artikel Berkaitan:

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 5.6 peratus dan 17.5 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kecil 0.05 peratus bulan ke bulan kepada 105.0 mata pada Julai 2021.

“Berasaskan tahun ke tahun, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 8.4 peratus daripada 96.9 mata pada Julai tahun lalu,” menurutnya.