Pahang lanjut tempoh bayaran cukai tanah 2021 hingga 30 September

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang melanjutkan tempoh pembayaran cukai tanah 2021 kepada semua pemilik tanah berdaftar di negeri tersebut sehingga 30 September ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui lanjutan tempoh bayaran itu, denda lewat hanya akan dikenakan mulai pada 1 Oktober 2021.

Menurutnya, kerajaan negeri menghargai komitmen pemilik tanah yang tetap menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai tanah sungguhpun dalam situasi mencabar akibat penularan wabak Covid-19.

"Sebagai penghargaan dan bagi membantu meringankan beban rakyat, kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah tahun 2021, sebulan lagi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, melalui keputusan itu diharapkan, para pemilik tanah dapat terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai tanah masing-masing.

Pada 19 Mei lalu, kerajaan negeri mengumumkan tempoh lanjutan bayaran cukai tanah bagi semua pemilik tanah berdaftar di Pahang tahun ini sehingga 31 Ogos lalu.

Ia lanjutan daripada tempoh akhir bayaran pada 31 Mei setiap tahun.

Keputusan tersebut dibuat berasaskan keprihatinan kerajaan negeri kepada masalah dihadapi rakyat yang terpaksa berdepan pelbagai situasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.

Artikel Berkaitan: