Fikirlah sebelum komen, elak jadi pembuli siber

No Image Caption
A
A
A

MASA zaman tok nenek kita dulu, buli lazimnya berlaku secara bersemuka. Namun, pada zaman serba canggih ini ia turut menular sehingga ke alam maya.

Walaupun pelbagai garis panduan, peringatan dan nasihat dihimpunkan menerusi media massa, penyelesaian penyakit sosial ini masih kabur.

Lebih parah lagi, buli siber sudah seakan-akan sebati dalam diri orang kita.

Merak Jalanan juga kerap menjadi mangsa buli siber dan ia semakin menjadi-jadi sejak 2005 iaitu ketika zaman kejatuhan Arsenal bermula.

Setiap minggu, pasti ada sahaja tulisan kurang enak ditujukan kepada Merak Jalanan apabila Arsenal gagal mencipta kemenangan.

Tetapi dalam hal ini, Merak Jalanan tidak terasa hati kerana ia adalah lumrah penyokong kelab bola sepak Inggeris di negara ini.

Namun, bagaimana pula jika buli siber melibatkan kata-kata kesat, terlalu menghina dan disebarkan dengan tujuan memalukan mangsa?

Sudah tentu ia memberi impak kepada individu yang menjadi mangsa buli siber termasuk kesan jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Jadi, bayangkan 'azab' dilalui atlet paralimpik Ukraine, Maksym Koval yang diserang puluhan ribu warganet dari Malaysia selepas dilabel sebagai pencuri kerana memprotes kemenangan Ziyad Zolkefli, sekali gus meraih emas dalam acara lontar peluru di Tokyo baru-baru ini.

Impak serangan buli siber terhadap Koval turut melarat sehingga pejabat Kedutaan Ukraine di Kuala Lumpur terpaksa menutup sementara akaun Facebook rasminya.

Apa pun, masyarakat kita perlu rasional. Seperti yang diajar dalam Islam, elemen yang penting adalah menjaga tali persaudaraan dengan berkasih sayang merentasi batas keturunan, warna kulit, bangsa mahupun kedudukan.

Lebih penting adalah tanggungjawab dan peranan untuk menghentikan buli siber seharusnya bermula daripada diri sendiri seperti peribahasa 'bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang'.