Elak jadi mangsa tawaran visa furada

Menggunakan khidmat syarikat PJH dilesenkan TH dapat mengelakkan jemaah daripada menjadi mangsa penipuan. Gambar kecil: Syed Saleh
Menggunakan khidmat syarikat PJH dilesenkan TH dapat mengelakkan jemaah daripada menjadi mangsa penipuan. Gambar kecil: Syed Saleh
A
A
A

MAKKAH - Tabung Haji (TH) berharap tiada lagi umat Islam di Malaysia yang menjadi mangsa tawaran visa haji furada seperti mana kes yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, visa furada bukanlah dalam kuota rasmi Malaysia iaitu 31,600 jemaah haji, maka ia adalah budi bicara dan hak mutlak kerajaan Arab Saudi untuk mengeluarkan visa kepada pihak yang memohon atau mana-mana pihak yang difikirkan sesuai.

Katanya, apabila mana-mana individu menerima atau mendapat visa furada, mereka diharapkan supaya menggunakan perkhidmatan 22 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang telah dilesenkan oleh TH.

“Apabila melalui syarikat PJH ini mereka akan mendapat keyakinan dengan pakej yang dibeli berbanding syarikat yang tidak dilesenkan yang tidak tahu sejauh manakah kesahihan visa dan pengendalian keseluruhan haji sama ada meyakinkan atau tidak.

“Kita sedia maklum bahawa kes tahun lepas apabila jemaah yang terkandas ini membayar hampir RM40,000 hingga RM80,000 - begitu juga pada tahun ini sudah tentu harganya makin naik oleh kerana kos yang makin tinggi,” katanya.

Pada tahun lalu, sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan membabitkan kerugian lebih RM5.67 juta.

Polis Diraja Malaysia PDRM menjelaskan, laporan yang diterima setakat 31 Julai membabitkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan oleh tiga syarikat pelancongan swasta.

Mengulas isu itu Syed Saleh berkata, setiap agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji tanpa kebenaran dan lesen TH boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Tabung Haji 1995.

Senarai 22 PJH yang dipaparkan di laman web TH.
Senarai 22 PJH yang dipaparkan di laman web TH.

“Kalau ikut dari segi peraturan termaktub dalam Akta TH memang jelas bahawa sebarang individu orang perseorangan mahupun syarikat pelancongan atau badan-badan mana sekalipun, tidak dibenarkan untuk mempromosi, mengiklan visa furada tanpa kebenaran,” katanya.

Syed Saleh berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang berdasarkan peruntukan yang ada.

“Untuk kes sebelum ini kita buat laporan dan polis telah melakukan siasatan dan ada juga yang sedang dalam proses perundangan,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes yang dikesan awal melakukan promosi, pihaknya akan memberi amaran kepada mereka untuk tidak meneruskan promosi tersebut atau menarik balik iklan berkenaan.

“Apabila dah habis haji dan kumpulan jemaah atau pelanggan mereka tidak dapat tunai haji, maka berlaku satu lagi kesalahan di mana akan ada penipuan, maka kita akan ambil tindakan yang difikirkan sesuai pada ketika itu,” katanya.

Oleh itu katanya, orang ramai boleh menyemak senarai 22 syarikat PJH di laman web TH dan media supaya dapat mengetahui syarikat berlesen itu.

“Baru-baru ini juga kita telah adakan karnival PJH di Movenpick Hotel, Sepang untuk beri satu kesedaran, pendedahan dan hebahan kepada orang ramai 22 syarikat yang mendapat lesen daripada TH,” katanya.