RASA Food Arena Suria KLCC ditutup selepas 22 tahun beroperasi

RASA Food Arena yang terletak di tingkat empat Suria KLCC itu membuat pengumuman penutupan premis menerusi satu makluman bercetak di pintu masuk medan selera berkenaan. Gambar kecil: Mohd Taib Ali
RASA Food Arena yang terletak di tingkat empat Suria KLCC itu membuat pengumuman penutupan premis menerusi satu makluman bercetak di pintu masuk medan selera berkenaan. Gambar kecil: Mohd Taib Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah bertahan selama lebih setahun sepanjang pandemik Covid-19, RASA Food Arena di Suria KLCC, Kuala Lumpur akhirnya terpaksa akur apabila mengumumkan penutupan premis berkenaan bermula Rabu lalu.

Pengarah Urusannya, Mohd Taib Ali berkata, selama tempoh tersebut, pihaknya cuba bertahan dan mengambil pendekatan untuk menunggu pasaran pulih terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sukar itu.

Beliau berkata, medan selera yang beroperasi selama 22 tahun itu terpaksa ditutup ekoran keadaan semasa negara yang masih bergelut dengan penularan pandemik Covid-19.

“Ini keputusan komersial, kami tidak mampu lagi untuk menanggung bayaran sewa. Jadi kalau penyewa tidak boleh bayar sewa gerai, macam mana pula kami nak bayar kepada KLCC?

“Sebelum ini, saya cuba tanggung sehingga setahun lebih sebab nak lihat pasaran kembali pulih seperti sedia kala.

“Namun apabila keadaan makin teruk dengan beberapa larangan berkaitan kedai makan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan Covid-19, saya ambil keputusan untuk tutup kerana faham situasi premis ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Taib akui mungkin akan mengambil masa dalam tempoh dua tahun untuk pihaknya dan peniaga bangkit selepas ini.

“Katakan nanti ekonomi kembali rancak, mereka ini sudah tidak ada duit kerana semuanya peniaga kecil. Yang kasihan peniaga saya, bayangkan hanya tinggal enam gerai daripada 17 yang bertahan sebelum premis ditutup sepenuhnya,” katanya.

Artikel Berkaitan: