X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 19 Mei 2022

Kempen Beli Barangan Malaysia bantu ekonomi

Hasnol Zam Zam Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan agar manfaat Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2021 akan dinikmati secara terus oleh pengguna melalui penawaran harga istimewa bagi barangan keluaran tempatan.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, ini kerana pihaknya sedar pengguna terkesan dengan pandemik Covid-19 yang berlaku di mana kuasa membeli turut menurun.

“Selain itu, kempen ini juga menjadi serampang dua mata dalam membantu meningkatkan jualan produk pengusaha tempatan sekali gus mengukuhkan ekonomi negara,” katanya semasa melancarkan KBBM 2021 secara dalam talian pada Khamis.

Tambahnya, bagi memastikan capaian kempen meluas dan manfaat dirasai rakyat Malaysia, promosi secara berterusan akan dilaksanakan menerusi saluran media cetak, media elektronik dan platform digital bagi mengetengahkan serta mempromosikan produk-produk tempatan.

Beliau berkata, promosi turut diperkukuhkan melalui kerjasama strategik dan kolaborasi khas dengan pihak berkepentingan yang mempunyai pengikut atau pengaruh tersendiri seperti melalui paparan iklan, siri animasi Upin dan Ipin serta pelbagai program kerjasama silang berimpak tinggi.

"Pada masa ini, cabaran globalisasi perniagaan telah banyak menyumbang kepada pemilihan dan pembelian barangan import yang dianggap dapat memberikan pembelian berbaloi sama ada daripada segi harga atau prestij.

“Justeru, kempen ini adalah signifikan untuk diteruskan dan dilaksanakan secara komprehensif,” ujarnya.

Menurutnya, selain menyemai semangat patriotisme, KBBM juga dalam usaha penjenamaan bagi mempertingkatkan kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk, mempamerkan kepelbagaian serta membantu memasarkan produk dan perkhidmatan tempatan serta memberikan dorongan kepada mereka.

“Saban tahun, kempen ini semakin berkembang dengan pertambahan penglibatan rakan-rakan kerjasama strategik daripada sektor peruncitan,” katanya.

Dalam pada itu itu, Hasnol turut mengumumkan rakan strategik KBBM untuk sektor peruncitan pada tahun ini adalah AEON Big, AEON Co, Giant, Mydin, 99 Speedmart, The Store, Hero Supermarket, KK Supermart, Eco-Shop, Lotus Store, Econsave, Lulu Group, TF Value-Mart, Bataras, Petronas dan Shell.

Selain itu beliau berkata, rakan-rakan strategik dari platform dalam talian iaitu Shoppe, Lazada dan PGMALL turut memainkan peranan yang sama penting.

Jelasnya, pelaksanaan ini selari dengan perkembangan dan keadaan semasa berikutan pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia. Kita menyaksikan urusan jual beli ini telah tertumpu ke arah pendigitalan.

"Platform dalam talian telah mencatatkan peningkatan yang amat besar pada tahun 2020 berbanding tahun 2019 dengan nilai jualan RM145 juta.

“Peningkatan yang ketara ini disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mana menyaksikan ramai rakyat Malaysia berbelanja secara atas talian,” katanya.

Hasnol turut berharap agar kerjasama sedia ada dan baharu antara kementerian serta rakan kerjasama strategik dalam pelaksanaan KBBM ini dapat diteruskan bagi memastikan usaha pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan secara bersama.

“Kerjasama strategik ini amat penting untuk memulihkan semula sektor peruncitan dan seterusnya mencapai pertumbuhan yang mampan,” jelasnya.

Sementara itu, Hasnol berkata, semua pihak amat menghargai dan berterima kasih kepada semua barisan hadapan kesihatan atas pengorbanan dan sumbangan mereka agar rakyat Malaysia dapat hidup dengan selamat.

Beliau berkata, kini tibalah masanya usaha tersebut disambut oleh barisan hadapan sektor ekonomi untuk bersama-sama menyumbang kepada pelan pemulihan ekonomi negara.

“Saya yakin, barisan hadapan ekonomi seperti pengeluar, pengedar, penyedia perkhidmatan dan peruncitan akan dapat bersama-sama kerajaan untuk memastikan usaha kita ini berjaya.

“Saya ingin menyarankan kepada anda semua ‘Jom Sokong dan Beli Barangan Malaysia’ kerana setiap perbelanjaan kita kelak akan dapat membantu memastikan ekonomi negara kita kekal berdaya saing,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!