Kerjasama usahawan bandar, luar bandar lonjak jualan IKS

Nordin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ab Wahab selepas Majlis Perasmian Program Lonjak 2.0 secara dalam talian pada Khamis. - Foto IGROW
Nordin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ab Wahab selepas Majlis Perasmian Program Lonjak 2.0 secara dalam talian pada Khamis. - Foto IGROW
A
A
A

IPOH - Seramai 20 usahawan di Kuala Lumpur dan di daerah Perak Tengah bergabung tenaga membantu antara satu sama lain dalam usaha melonjak jualan industri kecil dan sederhana (IKS) kedua-dua wilayah.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (Igrow), Nordin Abdul Malek berkata, kerjasama rentas wilayah itu dilaksanakan menerusi Program Lonjakkan Jualan Indusrtri Kecil Sederhana (Lonjak) 2.0 rentetan kejayaan program pertama sebelum ini yang membabitkan usahawan IKS di Perak.

Menurutnya, usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Ordar Smart Marketing Sdn Bhd untuk membantu usahawan IKS memasarkan produk mereka yang teruk terkesan akibat pandemik Covid-19 yang sudah berlarutan sejak Mac 2020.

"Antara masalah utama IKS yang perlu ditangani bersama ialah akses pasaran dan kuasa beli pengguna.

"Permintaan terhadap produk IKS semakin perlahan disebabkan nilai kuasa beli dalam kalangan rakyat sudah semakin berkurangan akibat kemelesetan ekonomi yang sedang berlaku.

"Menerusi program ini, kami berharap usahawan terbabit akan bangkit semula dan terus bersemangat walaupun telah melalui saat yang sangat getir akibat Covid-19," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Program Lonjak 2.0 secara dalam talian pada Khamis.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Orang Besar Jajahan Perak Tengah, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan yang turut disaksikan Pegawai Daerah Perak Tengah, Rozalinawati Che Roslee.

Menurutnya, pada program Lonjak 1.0 yang diperkenalkan pada April sehingga Jun 2021, sejumlah RM100,000 jualan dicatatkan biarpun ekonomi berdepan kemelesetan.

Artikel Berkaitan:

Jelas Nordin, bagi memastikan kesinambungan jualan tersebut, Lonjak 2.0 diperkenalkan bagi membolehkan usahawan IKS terus bertahan terutama dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar.

"Pada kali ini, penyertaan telah meningkat kepada 20 usahawan IKS serta merentasi Perak dan Kuala Lumpur. Cabaran kali ini tetap mengekalkan platform perniagaan usahawan iaitu berteraskan digital dan perniagaan dalam talian.

"Kami menyasarkan jualan antara RM100,000 sehingga RM250,000 dapat dihasilkan menerusi Lonjak 2.0 ini menerusi pelbagai kaedah promosi," katanya.

Sementara itu, bagi seorang usahawan dari Kuala Lumpur, Ziton Ismail, 64, berkata, pelaksanaan program Lonjak 2.0 itu merupakan peluang untuk usahawan IKS mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, ramai usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 termasuk dirinya yang mengusahakan perkhidmatan urutan tradisional selain jahitan kreatif sulaman.

"Bisnes terawal saya adalah sulam. Saya ambil upah menyulam dari tahun 1992 sampai sekarang, tetapi tempahan sulam dah berkurangan sejak 10 tahun lalu. Jadi saya sertai pula khidmat Mamacare iaitu urutan, penjagaan ibu dan bayi dalam pantang.

"Tetapi sekarang ini waktu pandemik, tak boleh keluar mengurut lagi, jadi saya lebihkan buat jahitan kreatif di kedai saya di premis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Setapak. Pengalaman dalam sulaman lebih 30 tahun manakala urutan tradisional pula sejak 10 tahun lalu," katanya.