205 calon SPM sekolah Yayasan Islam Kelantan peroleh 9A hingga 12A

Wan Roslan (tiga dari kanan) melihat senarai calon SPM 2023 yang memperoleh keputusan cemerlang.
Wan Roslan (tiga dari kanan) melihat senarai calon SPM 2023 yang memperoleh keputusan cemerlang.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 205 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di bawah sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya memperoleh 9A hingga 12A dalam keputusan peperiksaan yang diumumkan pada Isnin.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, jumlah keseluruhan calon SPM di bawah sekolah YIK tahun lalu ialah seramai 5,486 orang.

Menurut beliau, peratus kelulusan penuh SPM 2023 ialah 96.66 peratus berbanding 96.14 peratus pada tahun 2022 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.52 peratus.

"Berdasarkan analisis sebanyak 36 daripada 81 buah sekolah mencatat keputusan kelulusan 100 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Bagi Sekolah YIK 2023 pada Isnin.

Beliau memberitahu, berdasarkan gred purata sekolah (GPS), tiga buah sekolah teratas ialah Maahad Tahfiz Al Quran Darul Saadah yang memperoleh GPS 1.98 peratus diikuti Maahad Sains Tok Guru dengan GPS 2.27 manakala Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah mencatatkan GPS 2.63.

Wan Roslan berkata, keputusan membanggakan yang dibuktikan oleh calon merupakan hasil kerjasama semua pihak termasuk dan warga sekolah dan ibu bapa.

"Kita mengimplementasikan setiap perkara baharu termasuk teknik menjawab soalan dan sukatan mata pelajaran yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan dan guru dengan cepat akan berkongsi bersama pelajar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, guru juga sentiasa memberi semangat untuk semua calon kerana terpaksa berdepan pandemik Covid-19 dalam tempoh pembelajaran mereka.

"Walaupun tempoh masa belajar di sekolah sangat terhad untuk semua calon namun mereka berjaya memperoleh keputusan yang baik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!