MASkargo pengendali kargo pertama di Malaysia guna DG AutoCheck

MASkargo menerima guna platform Pemeriksaan Automatik Bahan Berbahaya (DG AutoCheck) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) membabitkan penerimaan penghantaran barangan tersebut. - Foto Bernama
MASkargo menerima guna platform Pemeriksaan Automatik Bahan Berbahaya (DG AutoCheck) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) membabitkan penerimaan penghantaran barangan tersebut. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) muncul sebagai pengendali penerbangan dan terminal kargo pertama di Malaysia yang menerima guna platform Pemeriksaan Automatik Bahan Berbahaya (DG AutoCheck) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) membabitkan penerimaan penghantaran barangan tersebut.

Dalam kenyataan pada Rabu, cabang kargo Malaysia Aviation Group itu berkata, sistem DG AutoCheck itu akan digunakan di Pusat Kargo Termaju miliknya bermula Rabu.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Zulkeflly Ujang menyifatkan penyelesaian digital IATA itu sebagai aset hebat, terutamanya dari sudut keselamatan operasi MASkargo.

“Menerusi khidmat kakitangan terlatih bagi menggunakan sistem itu, kami semakin menghampiri matlamat akhir sebagai sebuah gudang automatik sepenuhnya. Para pelanggan akan turut meraih manfaat daripada kecekapan sistem tersebut,” katanya.

DG AutoCheck merupakan sistem penyelesaian digital yang membolehkan pengendali penerbangan, perkhidmatan kendalian darat dan pengangkutan kargo memeriksa pematuhan Perakuan Barangan Berbahaya (DGD) yang melibatkan semua ketetapan peraturan IATA berkaitan.

MASkargo berkata, DG AutoCheck itu akan turut memudahkan usaha pengesahan tanda serta label bungkusan membabitkan penghantaran barangan berbahaya.

“Kami secara purata mengendalikan lebih daripada 50,000 tan barangan berbahaya setiap tahun. Memandangkan jenis kargo semakin canggih serta kompleks berikutan permintaan dan keperluan pelanggan, mekanisme digital ini pastinya banyak membantu MASkargo mempertingkat prosedur kendalian barangan berbahaya.

“Penyelesaian inovatif IATA itu juga dapat meningkatkan keselamatan dan kecekapan pengendalian barangan berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Keselamatan IATA, Nick Careen berkata, pihaknya menyambut baik keputusan MASkargo memilih sistem DG AutoCheck itu bagi tujuan pengautomasian usaha pemeriksaan pematuhan barangan berbahaya.

Menurutnya, tindakan penerimagunaan piawaian yang moden dan harmoni itu juga penting bagi memudahkan operasi secara selamat dan cekap, terutama berkaitan pengangkutan barangan berkaitan. - Bernama