X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

PST FAMA bantu 3,356 usahawan jana jualan RM108 juta

Ahmad Fadhli (dua dari kiri) menerima bantuan untuk penduduk di kawasan PKPD Kampung Repek yang disumbangkan oleh FAMA menerusi Program MAFI Prihatin, pada Selasa.
A
A

PASIR MAS - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya membantu seramai 3,356 usahawan menjana jualan berjumlah RM108 juta menerusi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 29 Ogos lalu.

Dalam satu kenyataan media, FAMA berkata, pendapatan itu dijana menerusi 54 PST yang diwujudkan di seluruh negara bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan serta pemasaran makanan terus berlangsung sepanjang pandemik Covid-19 ketika ini.

"Bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan sekatan penuh pergerakan, FAMA telah mewujudkan Bilik Gerakan (Crisis Management Centre) yang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 7 malam.

"Hal ini bertujuan membantu para petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil mereka dengan melayari portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/index.php) atau menghubungi talian di 019-7476754, 013-3777100 dan 010-7632684," katanya.

FAMA turun padang menyerahkan sumbangan bantuan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Repek, pada Selasa.

Serahan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui FAMA menerusi Program MAFI Prihatin dibuat kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, sebanyak empat buah PST telah diwujudkan di Kelantan bagi membantu 456 usahawan memasarkan hasil mereka setiap hari.

Katanya, sepanjang tempoh sama bermula 1 Jun hingga 29 Ogos lalu, jualan PST di negeri ini telah mencatatkan jumlah RM63 juta.

FAMA berkata, secara keseluruhannya sehingga 29 Ogos lalu, pelaksanaan MAFI Prihatin melalui FAMA telah memberi manfaat kepada 32,101 orang di 174 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 65.6 metrik tan makanan disalurkan.

Katanya, sumbangan berbentuk hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan produk industri makanan ini merupakan serampang dua mata dalam membantu petani memasarkan lebihan hasilan pertanian mereka.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!