RTC Kelantan sasar jualan RM350 juta tahun ini

Mohamad (dua, kanan) semasa mengadakan lawatan ke RTC Tunjong, Kota Bharu.
Mohamad (dua, kanan) semasa mengadakan lawatan ke RTC Tunjong, Kota Bharu.
A
A
A

PUSAT Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Tunjong, di sini menyasarkan jualan RM350 juta pada tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bermula Januari hingga Mei tahun ini sebanyak RM122 juta nilai jualan telah direkodkan.

"Melihat kepada jumlah itu, kita optimis sasaran itu mampu dicapai.

"Pada masa sama, FAMA turut menjangkakan seramai 1.5 juta orang akan berkunjung ke RTC Kelantan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu sebanyak RM320 juta nilai jualan berjaya direkodkan.

Ujarnya, kawasan ini berperanan sebagai sebuah pusat pembekalan dan pengedaran hasil tani serta produk makanan.

Mohamad memberitahu, RTC Kelantan menjadi jambatan penghubung antara pengeluar dan pembekal bahan mentah kepada pengguna.

"Lokasi ini merupakan pusat pemasaran hasil pertanian borong dan runcit yang utama di negeri ini.

"Pemodenan kaedah niaga dalam kalangan penjaja kecil dapat ditambah baik di bawah satu bumbung.

"Ia meliputi aspek seperti penyediaan premis dan kemudahan yang lebih tersusun, bersih serta dapat memberi keselesaan kepada pengunjung selain meningkatkan pendapatan usahawan termasuklah penjaja," katanya.

Menurut beliau, pada masa ini komponen yang sedia ada terdiri daripada Blok Pentadbiran, Blok Peruncitan, Blok Pemborongan dan Blok Pelbagai.

Tambah Mohamad, RTC Kelantan turut mempunyai, medan selera, tapak florikultur, pasarina dan tapak ekspo.

"Kawasan ini menyediakan lot niaga bagi semua komponen utama dengan jumlah peserta seramai 805 orang yang beroperasi setiap hari," katanya.