Gaza namakan ‘Malaysia Street’ sempena peringati kemerdekaan

Perbandaran Gaza menamakan salah satu jalan di daerah barat bandarnya sebagai ‘Malaysia Street’ sempena memperingati kemerdekaan Malaysia yang disambut pada setiap 31 Ogos. - Foto Twitter Muslim Imran
Perbandaran Gaza menamakan salah satu jalan di daerah barat bandarnya sebagai ‘Malaysia Street’ sempena memperingati kemerdekaan Malaysia yang disambut pada setiap 31 Ogos. - Foto Twitter Muslim Imran
A
A
A

SHAH ALAM - Perbandaran Gaza menamakan salah satu jalan di daerah barat bandarnya sebagai ‘Malaysia Street’ sempena memperingati kemerdekaan Malaysia yang disambut pada setiap 31 Ogos.

Perkara itu dikongsikan oleh Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran melalui ciapan di Twitternya pada Selasa.

Muslim berkata, lokasi ‘Malaysia Street’ itu berada di Bulatan Ansar iaitu di sebelah barat kota Gaza.

Sebuah papan tanda ‘Malaysia Street’ diletakkan bagi menanda kawasan tersebut dan turut menyatakan mengenai peranan Malaysia dalam menyokong perjuangan Palestin.

“Ini adalah salah satu negara di Asia Tenggara yang memperoleh kemerdekaannya daripada penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 1957 dan ibu kotanya adalah Kuala Lumpur.

“Malaysia mempunyai peranan penting dalam menyokong perjuangan Palestin. Ia selalu menuntut penghentian penjajahan Israel dan memberikan semua hak rakyat Palestin.

“Ini juga menolak normalisasi dengan penjajahan Israel,” antara kandungan yang dinyatakan di papan tanda berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman turut berkongsi perkembangan mengadakan perasmian beberapa mercu tanda di Gaza sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, salah satu daripada projek sambutan merdeka yang dijalankan itu telah selesai.

“Hari ini kita ada beberapa sambutan kemerdekaan Malaysia di Gaza melibatkan perasmian beberapa mercu tanda di sini. Doakan!

“Satu projek merdeka selesai, tiga lagi berbaki,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.