X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Covid-19: Semua ADUN Perak jalani kuarantin

Semua ADUN, pegawai dan petugas yang menghadiri Persidangan DUN Perak, Isnin lalu diarah menjalani kuarantin kendiri selepas seorang ahli Dewan Negeri positif Covid-19.
A
A

IPOH - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menghadiri Persidangan Dewan Negeri pada Isnin perlu menjalani kuarantin kendiri selepas seorang daripada mereka positif Covid-19.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, wakil rakyat daripada kerajaan itu disahkan positif selepas menjalani ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19.

Menurutnya, individu berkenaan mula mengalami simptom demam sejak malam Isnin sebelum menjalani ujian PCR bagi tujuan pengesahan.

"ADUN berkenaan disahkan positif melalui ujian PCR, dengan keputusan itu, semua yang terlibat pada Persidangan Dewan Negeri Isnin lalu telah diarahkan menjalani kuarantin diri bermula hari ini bagi tujuan keselamatan.

"Arahan ini termasuklah kepada Speaker, petugas Dewan dan semua pegawai khas ADUN yang berada dalam Dewan Negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari turut mengesahkan semua Ahli Dewan Negeri diarahkan menjalani kuarantin, namun belum dimaklumkan lebih lanjut berhubung perkara itu.

"Ya betul (kuarantin), setahu saya semua (ADUN), tetapi saya tak pasti (berapa lama) kerana belum ada makluman lanjut," katanya.

Persidangan DUN Perak berlangsung selama empat hari bermula 25 Ogos lepas dan berakhir Isnin lalu dengan mengguna pakai konsep gelembung selepas mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Ia merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.

Bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kesemua 59 ADUN ditempatkan di empat ruang persidangan berbeza iaitu 39 di dewan utama, lapan di bilik sidang media sementara masing-masing empat di bilik mesyuarat PAC, bilik mesyuarat timbalan setiausaha kerajaan negeri dan bilik mesyuarat setiausaha dewan negeri.

Sepanjang persidangan, hanya tiga daripada 59 ADUN iaitu Mohd Zaidi Aziz (BN-Slim), Ko Dr Ko Chung Sen (DAP-Kepayang) dan Muhammad Arafat Varisai Muhamad (PKR-Hulu Kinta) tidak dibenarkan hadir atas sebab-sebab berkaitan Covid-19.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!