Polis Perak tidak beri kelulusan aktiviti konvoi

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Polis Perak tidak akan menyokong dan meluluskan sebarang permohonan bagi aktiviti konvoi kenderaan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini termasuklah bagi tujuan sambutan kemerdekaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, langkah itu bagi mengelak berlakunya sebarang sesi perjumpaan di lokasi-lokasi tumpuan yang menyebabkan kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, penegasan itu juga selaras dengan ketetapan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tiada sebarang aktiviti berkonvoi ketika negara masih berdepan penularan virus Covid-19 terutama varian Delta yang mudah berjangkit ketika ini.

"Selaras dengan ketetapan pucuk pimpinan PDRM, kita mengambil pendekatan untuk tidak menyokong dan meluluskan permohonan dibuat oleh mana-mana individu atau kumpulan atas sebarang tujuan.

"Aktiviti konvoi ini akan menyebabkan berlakunya pelanggaran SOP serta tiada penjarakan fizikal," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Konvoi Merdeka mesti dapat kebenaran pihak berkuasa

Beliau berkata, polis akan terus memantau pematuhan SOP yang sedang dikuatkuasakan dan mengenakan kompaun kepada sesiapa sahaja yang gagal mematuhinya.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak merancang atau memohon untuk sebarang aktiviti konvoi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehinggalah dibenarkan berbuat demikian.

"Kerjasama orang ramai amatlah diperlukan dalam membendung penularan Covid-19 ini khususnya di Perak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, media melaporkan MKN Perak membenarkan aktiviti konvoi berkenderaan dilaksanakan di negeri ini terutama bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan syarat mendapat kebenaran MKN dan polis.

Kebenaran itu bagi memastikan sebarang aktiviti dilaksanakan mematuhi protokol keselamatan dan SOP ditetapkan.