Rakyat Malaysia rancang kembali melancong

Indeks dikeluarkan Finder’s Travel menyatakan bahawa sebanyak 34 peratus orang dewasa di Malaysia merancang melancong dalam tempoh tiga bulan akan datang.- Foto Bernama
Indeks dikeluarkan Finder’s Travel menyatakan bahawa sebanyak 34 peratus orang dewasa di Malaysia merancang melancong dalam tempoh tiga bulan akan datang.- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Indeks dikeluarkan Finder’s Travel menyatakan bahawa sebanyak 34 peratus orang dewasa di Malaysia merancang melancong dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Indeks tersebut menunjukkan perancangan perjalanan jangka pendek ke luar negara turut merekodkan tahap tertinggi pada bulan Ogos, dengan sejumlah 15 peratus daripadanya merancang untuk ke luar negara pada September, Oktober dan November iaitu peningkatan 14 peratus berbanding bulan lepas.

Sementara itu, laporan indeks dikeluarkan pada Jumaat lalu itu juga mendapati hampir 24 peratus orang dewasa di Malaysia merancang melakukan pelancongan domestik pada bulan September, Oktober dan November iaitu peningkatan 14 peratus daripada tinjauan yang dilakukan pada Julai lalu.

Pengarang besar Finder.com, Angus Kidman berkata, sedikit peningkatan dalam sentimen rancangan pelancongan itu selari dengan dengan langkah diambil kerajaan Malaysia untuk meredakan sekatan perjalanan bagi individu yang melengkapkan vaksinasi Covid-19.

"Untuk pertama kalinya sejak tinjauan pada April, kami melihat peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang memiliki perancangan perjalanan jangka pendek.

"Pada bulan April, 44 peratus rakyat Malaysia memiliki rancangan perjalanan, tetapi turun menjadi 36 peratus pada bulan Mei, Jun (33 peratus), Julai (30 peratus) sebelum akhirnya naik hingga 34 peratus pada bulan Ogos ini.

"Kami menjangkakan permintaan untuk perjalanan domestik dan antarabangsa meningkat apabila lebih banyak orang mendapat vaksin dan penyedia perkhidmatan perjalanan seperti Malaysia Airlines mula menawarkan penerbangan murah serta faedah lain," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, individu yang mahu melancong perlu melakukan pemeriksaan terhadap sebarang sekatan yang sedang dilaksanakan sebelum membuat tempahan di samping mesti bersedia untuk sebarang perubahan memandangkan situasi semasa yang masih tidak menentu.

Artikel Berkaitan:

"Ini lebih penting lagi bagi perjalanan antarabangsa di mana anda berurusan dengan keperluan pelancongan yang ditetapkan di Malaysia dan negara yang dituju," jelasnya.

Finder's Travel Index merupakan sebuah laporan tinjauan berterusan yang setakat ini telah berjaya mengumpulkan respons daripada lebih 170,000 orang.