TDM sahkan anggota dikhuatiri lemas ketika latihan di Bera

SAR yang dilakukan bagi mencari anggota terbabit yang dikhuatiri lemas di tempat kejadian. - Foto FB Tentera Darat Malaysia
SAR yang dilakukan bagi mencari anggota terbabit yang dikhuatiri lemas di tempat kejadian. - Foto FB Tentera Darat Malaysia
A
A
A

BERA - Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari 10 Briged Para dilaporkan hilang dipercayai lemas di Sungai Pahang pada Ahad.

Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang juga anggota tinjau dari Kompeni PANDURA (Para) sedang menjalani latihan penyusupan menyeberangi sungai bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kawasan Am, Bera yang dijalankan selama 14 hari sejak Selasa lalu.

Kenyataan media Sel Perhubungan Raya Tentera Darat pada Isnin, mengesahkan kejadian membabitkan anggota tentera terbabit.

"Semasa kejadian kira-kira jam 4.40 petang pada Ahad, anggota sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor di Bera.

"TDM telah menggerakkan anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 4.50 petang, Ahad bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang namun sehingga kini tiada penemuan," kata kenyataan itu lagi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain hadir meninjau SAR yang dilakukan di tempat kejadian. - Foto FB Tentera Darat Malaysia
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain hadir meninjau SAR yang dilakukan di tempat kejadian. - Foto FB Tentera Darat Malaysia

Dalam kenyataan tersebut juga memberitahu, SAR dibantu pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung di mana mangsa kali terakhir dilihat.

Tambah kenyataan itu, SAR ditangguhkan pada jam 7 petang kerana keadaan cuaca semakin gelap dan bersambung pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang perkembangan mengenai kejadian ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

"TDM berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian serta bagi menjaga perasaan waris mangsa terlibat," menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum itu pada Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat dan meninjau latihan sempena eksesais tersebut.