JPS Perak diarah teliti RTB elak banjir

Mohd Zolkafly
Mohd Zolkafly
A
A
A

IPOH - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak diarah melakukan kajian terperinci terhadap semua rancangan tebatan banjir (RTB) di seluruh negeri bagi mengenalpasti isu tebatan banjir yang rosak atau pecah.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, semua kertas cadangan dan pembinaan projek tebatan banjir yang sedang dirancang atau dalam pembinaan perlu diteliti semula.

"Saya memberi jaminan satu laporan yang komprehensif akan dihasilkan oleh JPS negeri agar kejadian ban pecah seperti di Alor Pongsu tidak berlaku di kawasan lain," katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Isnin.

Menurutnya, keadaan paras ban yang rendah menyebabkan berlakunya masalah banjir di kawasan Sungai Larut.

"JPS akan mengambil inisiatif dengan menjalankan kerja-kerja meninggikan paras ban selain akan menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Larut untuk membantu mengurangkan masalah banjir terutamanya kawasan Kuala Sepetang pada September ini.

"JPS Negeri Perak turut mengambil inisiatif, dengan memasang dua buah pam bergerak untuk mengurangkan masalah banjir di kawasan yang rendah untuk mengepam air di kawasan banjir ke dalam Sungai Larut," katanya.

Mohd Zolkafly memberitahu, JPS negeri telah membelanjakan hampir RM890,000 dalam kawasan Matang untuk mengurangkan masalah banjir.

Artikel Berkaitan: